DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui anak syarikatnya, Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) membelanjakan hampir RM340,000 bagi membantu penduduk di negeri ini terutama di wilayah Ketengah yang terjejas akibat Covid-19.
Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, bantuan termasuk wang tunai dan barangan keperluan seperti makanan diagihkan kepada golongan sasar sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat agensi itu.
“Terdahulu, semasa gelombang pertama penularan Covid-19, seramai 86 pengusaha pelancongan telah dibantu Ketengah membabitkan perbelanjaan sebanyak RM152,700 manakala KHSB pula menyalurkan RM70,000 kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini .
Razali berkata, terbaharu, pihaknya turut mengagihkan barangan keperluan asas kepada 500 keluarga di Mukim Rasau, Dungun yang terjejas Covid-19, hari ini.
“Bekalan dihantar ke beberapa lokasi berhampiran bagi memudahkan proses pengagihan kepada keluarga yang terlibat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin setempat untuk mengelak penerima keluar rumah.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang terjejas punca pendapatan di samping menyokong usaha kerajaan bagi memastikan masyarakat kekal berada di rumah dalam misi memutuskan rantaian wabak Covid-19 demi keselamatan bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE