fbpx

4 Disember 2020, 4:02 am

  TERKINI

Kawasan simpanan barangan kitar semula terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kawasan simpanan barangan kitar semula di sebuah kilang di Taman Industri, Taman Ria Jaya di sini terbakar hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri (PGON) menerima panggilan kebakaran tersebut pada pukul 1.18 pagi.

Menurutnya, enam jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Tikam Batu, Amanjaya dan Yan bersama 41 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Selain itu, katanya, sebanyak 21 pasukan bomba sukarela (PBS) dari sekitar
Sungai Petani, Gurun dan Kulim serta Butterworth dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang juga membantu mengawal kebakaran itu.

“Setibanya jentera di lokasi pada pukul 1.26 pagi, kita mendapati berlaku kebakaran di kawasan berkeluasan kira-kira 3,048 meter persegi yang menempatkan longgokan barangan kitar semula di luar bangunan kilang itu.

“Kebakaran tersebut dapat dikawal dalam masa kira-kira empat jam dan kami mengambil masa agak lama bagi memadamkan kebakaran itu kerana membabitkan bahan mudah terbakar serta tekanan air rendah di lokasi,” katanya.

Menurut Mohamadul Ehsan, antara barangan kitar semula yang terbakar itu ialah barangan plastik, kertas dan pakaian.

Selain itu, tambahnya, ketika kejadian, seramai 70 pekerja sedang bertugas di dalam kilang tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tiada laporan pekerja di kilang tersebut yang cedera dalam kebakaran itu.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian pula masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE