fbpx

18 Januari 2021, 5:41 pm

  TERKINI

Johor latih asnaf jadi peniaga

Tosrin Jarvanthi (tengah) dalam sidang media mengumumkan agihan zakat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini. - FOTO: Bazlan Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 50 golongan asnaf akan diberikan latihan untuk menjalankan perniagaan termasuk menggunting rambut bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan  berkenaan.

Usaha tersebut yang dirintis Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Johor Corporation menerusi sayap Waqaf An-Nur Corporation Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, buat permulaan, seramai 20 individu daripada golongan asnaf akan dipilih. 

“Ini merupakan pertama kali MAINJ bekerjasama dengan Waqaf An-Nur dan kita memilih perniagaan gunting rambut kerana ia satu cabang perniagaan yang memiliki potensi.

“Setiap peserta akan diberikan latihan selama tiga bulan, sebelum bantuan akan turut diberi melibatkan lokasi perniagaan agar membolehkan mereka memulakan perniagaan dalam kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Penasihat MAINJ, Datuk Dr. Noh Gadut dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Md. Rofiki Samsudin.

Tambah Tosrin, selain itu MAINJ juga akan melatih 50 lagi asnaf untuk membuat pemasaran secara atas talian menerusi kerjasama dengan Johor Bizz Digital.

“Ini juga dapat memberi meningkatkan pendapatan asnaf dan sekali gus membawa keluar mereka daripada kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya telah berjaya mengutip zakat berjumlah RM216.7 juta sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM211.5 juta telah diagihkan kepada lapan kumpulan asnaf dengan penerima terbesar melibatkan asnaf miskin sebanyak RM83.5 juta, diikuti asnaf fakir sebanyak RM52.4 juta.

“Berlaku sedikit pengurangan kutipan zakat, khususnya melibatkan zakat pendapatan dan perniagaan namun kami yakin dengan promosi yang dilakukan akan dapat mencapai sasaran kutipan sebanyak RM285 juta tahun ini,” ujarnya lanjut. -UTUSAN