JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri membenarkan aktiviti rumah ibadat bukan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun tidak boleh melebihi satu pertiga daripada kapasiti sebenar premis.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, arahan itu dibuat mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan melibatkan pandemik Covid-19.
“Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ekoran PKPB yang dilaksanakan termasuk di Johor bermula 9 November hingga 6 Disember ini, maka rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi.
“Namun ia dengan had kehadiran iaitu satu pertiga daripada kapasiti dewan atau ruang ibadat dengan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan semua negeri semenanjung termasuk Johor kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKPB bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.
Tambah Fat Full, kerajaan akan melantik pegawai daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk memantau pematuhan SOP berkenaan.
“Tindakan ini selaras dengan Seksyen 3 Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE