Jangan kalah kepada penceroboh - Utusan Malaysia

Jangan kalah kepada penceroboh

AMINUDDIN Yahaya (dua dari kiri) ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Wan Rosdy Wan Ismail berhubung bantahan rakyat terhadap pencerobohan tanah di Kuantan, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Era atau zaman penceroboh tanah haram ‘kebal’ atau seolah-olah diselindungi oleh pihak-pihak tertentu perlu segera dihentikan menerusi program pemutihan bagi mengembalikan integriti penguatkuasaan di negara ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat berkata, mengambil contoh isu pencerobohan tanah haram bagi menanam durian Musang King di Raub, dekat sini yang berlaku selama puluhan tahun, mustahil ia tidak diketahui pihak bertanggungjawab.

“Apa yang kita buat sekarang bukan untuk menjatuhkan atau melawan kerajaan negeri, kita sokong kerajaan negeri memperkasa (penguatkuasaan), kita cuma hendak sampaikan seolah-olah ada agensi yang tak berani buat kerja.

“Kita hendak ingatkan mereka tentang tanggungjawab. Zaman penceroboh tanah haram ‘kebal’ dan tidak boleh didakwa perlu segera dihentikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Presiden Pertubuhan- pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya hadir bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung bantahan rakyat terhadap pencerobohan tanah di negeri ini.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz.

Selain kepada Menteri Besar, memorandum berkenaan turut diserahkan Pembela kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Aminuddin berkata, Pembela mendesak kerajaan negeri, JPNP dan SPRM bertindak tegas tanpa kompromi dan ‘double standard’ kepada pengkhianat serta penceroboh tanah kerajaan di Pahang.

Pihaknya juga mendesak JPNP bertindak tegas merampas kembali tanah-tanah yang diceroboh tanpa memberikan sebarang ganti rugi seperti yang dituntut oleh penceroboh berpandukan kepada undang-undang.

“Isu pencerobohan tanah haram ini tidak boleh dipolitikkan, ini soal rakyat. Ia melibatkan soal tanah tempat kita berpijak, kita tidak boleh hilang tanah begitu saja kepada pihak penceroboh,” tegasnya.

Jelasnya, Pembela dan beberapa NGO lain di negara ini akan memastikan pihak-pihak yang melindungi penceroboh tanah haram di negeri ini dibawa ke muka pengadilan demi memastikan penyelewengan yang berlaku selama ini segera dihentikan.

“Kita akan bertindak berlandaskan kepada undang-undang. Kita bawa suara rakyat, bukannya kita hendak jatuhkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya