Graduan perlu rebut peluang pekerjaan, kemahiran - Utusan Malaysia

Graduan perlu rebut peluang pekerjaan, kemahiran

DR. R BADLISHAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Graduan atau lepasan universiti awam dan swasta perlu merebut peluang pekerjaan serta peningkatan kemahiran yang dirancang kerajaan kepada golongan tersebut menerusi Belanjawan 2021.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, kegusaran utama pengurusan universiti pada masa ini adalah mengenai aspek kebolehpasaran graduan terutama ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan kepada ekonomi.

Justeru katanya, apa yang diharapkan oleh pengurusan universiti iaitu sebaik sahaja graduan menamatkan pengajian, mereka mendapat pekerjaan yang setara dengan bidang yang dipelajari atau menikmati peluang lebih baik untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

“Dalam Belanjawan 2021, kerajaan mengumumkan insentif bulanan kepada majikan swasta bagi setiap graduan baharu yang diterima bekerja, yang mana ia secara tidak langsung dapat menggalakkan majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada graduan yang baharu sahaja menamatkan pengajian.

“Tidak ketinggalan, peruntukan RM250 juta bagi menjayakan Program Perantisan Belia yang membolehkan graduan mendapat pendedahan awal pekerjaan juga diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh 50,000 graduan IPT (institut pengajian tinggi),” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, . R. Badlishah turut meminta graduan IPT terutama dari Unimap menghubungi pihak universiti sekiranya mereka berdepan dengan sebarang masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Ujarnya, Unimap sendiri merencanakan pelbagai program meningkatkan kemahiran (upskilling)
dengan kerjasama pelbagai sektor industri atau meningkatkan kemahiran dalam aspek pendigitalan dan ekonomi gig dalam usaha membantu para graduan.

“Saban tahun Unimap sentiasa menganjurkan Program Karnival Kerjaya Northern Industrial Career Development (NICE) namun disebabkan situasi pandemik ini semua perancangan terpaksa ditangguhkan seketika sebaliknya hanya memberi fokus kepada program secara dalam talian.

“Antara tumpuan Unimap ialah meningkatkan kemahiran pendigitalan dan ekonomi gig yang memerlukan graduan berfikiran lebih kreatif menggunakan teknologi di hujung jari. Saya melihat aspek ini berkait rapat dengan inisiatif menaik taraf kemudahan internet jalur lebar yang turut digariskan dalam Belanjawan 2021,” katanya.

Dalam pada itu, R Badlishah menyambut baik inisiatif kerajaan menyediakan peruntukan RM6 bilion bagi pemerkasaan program latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang turut selari dengan aspirasi Unimap untuk melahirkan graduan TVET yang berdaya saing dan memenuhi aspirasi negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN