Dadah: Lima beradik berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Dadah: Lima beradik berdepan hukuman mati

EMPAT daripada enam lelaki yang dituduh mengedar dadah di Mahkamah Majistret Tapah, Perak hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Lima beradik dan seorang lelaki warga Myanmar berdepan hukuman mati di tali gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methampethamine, dua minggu lalu.

S. Rathiswaran, 23, S. Suthentiran, 21, S. Sridharan, 20, S. Suthesan, 18, dan adik lelaki mereka berusia 17 tahun serta lelaki warga Myammar, Kyaw, 23, didakwa mengedar methamphetamine seberat 37.2 kilogram di Lot 11878, Mukim Chenderiang pada pukul 9.15 pagi, 4 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh termasuk lelaki warga Myanmar yang tidak memahami pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.

Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan kemudian menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan jurubahasa untuk lelaki warga Myanmar tersebut.

Mahkamah yang tidak menawarkan sebarang jaminan itu juga menetapkan 18 Januari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Rajit Singh.

Utusan Malaysia pada 5 November lalu melaporkan, kegiatan sebuah makmal mini memproses dadah jenis methamphetamine terbongkar apabila diserbu polis dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Chenderiang.

Pembongkaran kegiatan yang dilakukan di kawasan ‘tersorok’ kira-kira tiga kilometer dari jalan utama itu turut dijalankan serentak bersama serbuan di empat lokasi lain di Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam serbuan tersebut, 10 lelaki diberkas termasuk seorang warga Myanmar berusia 17 hingga 45 tahun dan merampas 37.2 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM1,674,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.