PADANG RENGAS: Polis menutup semua laluan keluar dan masuk termasuk laluan tikus ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penutupan dilakukan pihaknya sejak Khamis lalu selepas dimaklumkan terdapat dua pelajar sekolah berkenaan disahkan positif dijangkiti Covid-19.
Katanya, dua sekatan jalan raya (SJR) diadakan di laluan utama masuk ke sekolah berkenaan dengan kekuatan enam anggota polis dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Tiada pergerakan ke kawasan ini tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan malah penduduk yang menghuni kediaman di kawasan sekolah juga tidak dibenarkan keluar,” katanya ketika ditemui semasa meninjau SJR di kawasan sekolah tersebut hari ini.
Menurut beliau, kesemua 90 pelajar dan 12 guru yang dikuarantin di dalam sekolah berkenaan berada dalam keadaan terkawal dan kesemua barangan keperluan termasuk bekalan makanan mencukupi.
Katanya, perbincangan turut diadakan bersama beberapa pihak termasuk pegawai daerah bagi pelarasan bantuan seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.
“Setakat semalam, seramai 44 warga sekolah ini disahkan dijangkiti dan kebanyakkannya melibatkan pelajar. Proses sanitasi dilakukan di sekolah itu sebanyak dua kali.
“Pergerakan penduduk juga seperti biasa kerana kawasan penempatan di sini tidak melibatkan kampung-kampung yang besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, empat SJR dijalankan di beberapa laluan di bawah pentadbiran polis Kuala Kangsar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa bermula esok. – UTUSAN ONLINE