Banjir: Terengganu beransur pulih, Kelantan mula pindah - Utusan Malaysia

Banjir: Terengganu beransur pulih, Kelantan mula pindah

MOHD. Asman Kasman (dua dari kiri) dan isterinya, Dalizah Abdullah dibantu saudara mereka membersihkan rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman, Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Banjir di Terengganu beransur pulih apabila hanya lima mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, daripada keseluruhan 1,310 orang yang direkodkan kelmarin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 4 petang semalam, kesemua mangsa daripada dua keluarga itu ditempatkan di PPS Kampung Pasir Gajah.

Katanya, keadaan cuaca baik sejak petang kelmarin membolehkan mangsa yang terjejas akibat bencana itu pulang ke rumah masing-masing sekali gus menyaksikan penutupan enam PPS termasuk di Dungun.

Di KEDAH, seramai 691 mangsa daripada 183 keluarga dipindahkan ke enam PPS yang dibuka di Kulim dan Kuala Muda selepas kawasan tersebut dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak petang kelmarin.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak dua mukim di Kulim yang terjejas iaitu Sungai Seluang dan Lunas.

Katanya, bagi Kuala Muda pula, mukim yang terjejas ialah Sungai Petani dan Sidam Kiri.

Di PERAK, jumlah mangsa dipindahkan bertambah kepada 93 orang yang ditempatkan di tiga PPS berbanding 63 orang kelmarin.

Pertambahan jumlah mangsa berikutan dua PPS dibuka semalam iaitu di Sungai Siput dan Bota.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, PPS yang dibuka semalam ialah di Dewan Orang Ramai RPT Tok Sirat di Sungai Siput yang menempatkan 54 mangsa daripada 11 keluarga.

Satu lagi PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung di Bota yang menempatkan 17 mangsa daripada enam keluarga.

Di KELANTAN, dua keluarga menjadi penghuni pertama PPS di SK Gual Tok Deh di Rantau Panjang selepas kawasan rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, mereka berpindah ke PPS terbabit petang semalam secara sukarela tanpa menunggu arahan berbuat demikian oleh pasukan penyelamat.

Setakat pukul 6 petang semalam, sebanyak lima keluarga melibatkan 22 mangsa ditempatkan di PPS berkenaan.berkenaan.

Berdasarkan rekod dari laman sesawang infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok setakat pukul 3 petang sudah melepasi paras bahaya ketika ini iaitu 9.4 meter menyebabkan beberapa kawasan rendah di situ mula dinaiki air.

Di SELANGOR, seramai 56 individu melibatkan 16 keluarga lagi dipindahkan ke PSS di SK Datuk Maharajalela semalam susulan berlakunya limpahan air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Ismail Zakariya berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PSS tersebut adalah 68 mangsa daripada 19 keluarga setakat tengah hari tadi.

Katanya, kesemua mangsa yang dipindahkan adalah dari Jalan Rezab Derahman selepas pihak berkuasa mendapati limpahan air di kawasan rumah terus berlaku.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya melakukan proses sanitasi di PSS tersebut bagi mencegah penularan wabak Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya