Arwah tepati janji, tidak ambil mudah soal hutang - Utusan Malaysia

Arwah tepati janji, tidak ambil mudah soal hutang

MOKHTAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sikap bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim yang menepati janji dan tidak mengambil mudah soal hutang meskipun jumlahnya kecil antara sifat peribadi mulia yang tidak dilupakan sahabat karib­nya, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, ia sentiasa berada dalam ingatan beliau sepanjang bersahabat dengan Mokhtar yang berpegang prinsip sebagai seorang Islam hutang wajib dibayar walaupun berjumlah satu sen.

RAIS YATIM

“Saya ingat lagi ketika beliau meminjam wang daripada saya berjumlah RM75, yang mana ketika itu jumlah elaun bulanan ahli Parlimen memang sedikit. Namun beliau tetap membayarnya dan tidak pernah mungkir. Itulah kemuliaan yang saya lihat dalam diri Allahyarham,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Semalam negara dikejutkan dengan kematian Mokhtar, 78, pada pukul 3.10 pagi selepas berita itu dihebahkan kepada umum oleh isterinya, Datin Bahariah Yusuf.

Allahyarham Mokhtar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara selepas solat jenazah di Masjid At-Taqwa, di sini tengah hari semalam.

Rais berkata, kali terakhir beliau bertemu Mokhtar adalah Ogos lalu dalam satu majlis ringkas dan selepas itu komunikasi antara mereka mulai berkurangan berikutan masalah kesihatan namun sesekali tetap berhubung melalui aplikasi Whatsapp. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN