Anggota rendah Imigresen hidup tak sepadan gaji - Utusan Malaysia

Anggota rendah Imigresen hidup tak sepadan gaji

TIMBALAN pengarah antara tiga pegawai imigresen yang ditahan reman baru-baru ini bagi membantu siasatan rasuah dan urusan cap palsu di pintu masuk negara menerusi Ops Selat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehidupan anggota Jabatan Imigresen gred KP19 dan KP22 yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kerana disyaki menyalahguna cap keluar masuk warga asing didapati lebih ‘mewah’ berbanding pegawai-pegawai atasan mereka.

Menurut sumber, ada antara mereka dipercayai tinggal di rumah teres jenis semi-D sedangkan gred mereka tidak setimpal dengan nilai aset tersebut. Ada antara mereka juga memiliki lebih daripada sebuah kenderaan.

Pendapatan gaji pokok bagi kakitangan KP19 dan KP22 tidak lebih RM5,000.

Semalam, SPRM menahan seorang lagi anggota Imigresen gred KP22, menjadikan jumlah tangkapan menerusi Op Selat berkaitan jenayah menjual cap keluar masuk dokumen warga asing meningkat kepada 54 orang.

Anggota Imigresen yang ditahan itu bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).

“SPRM menyita tiga buah kenderaan mewah iaitu dua Toyota Vellfire dan sebuah Toyota Passo. Kenderaan-kenderaan tersebut dipercayai milik anggota imigresen serta ejen.

“Tiada wang tunai dirampas dalam penahanan terbaharu ini dan siasatan lanjut masih dijalankan,” kata sumber itu semalam.

Dalam pada itu, sumber berkata, siasatan mendapati timbalan pengarah gred KP48 yang ditahan kelmarin dipercayai menjadi pelindung kepada sindiket menjual cap warga asing.

Bagaimanapun, setakat ini SPRM belum menyita aset milik timbalan pengarah terbabit selain siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan aset lain yang diterima hasil wang rasuah.

“SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain berkaitan kes itu,” katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan sindiket antarabangsa yang bersekongkol dengan pegawai serta anggota Imigresen dipercayai aktif melakukan aktiviti pelacuran dan pemerdagangan manusia di negara ini.

Bagaimanapun, sumber berkata, SPRM masih menjalankan siasatan berhubung penglibatan individu yang ditahan dan tidak menolak kemungkinan nilai rasuah diterima mereka lebih RM14.5 juta.

Terdahulu, SPRM mendedahkan kira-kira 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diagihkan dalam kalangan kakitangan yang bertugas di KLIA2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bharu dalam tempoh empat tahun bermula 2017.

Secara purata, setiap tahun, RM3.6 juta didakwa diagihkan sesama anggota dan pegawai imigresen hasil penglibatan mereka dengan sindiket ini.

Selain itu, wang tunai RM800,000, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi dirampas selain jumlah berkenaan tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya yang turut dirampas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN