5 kapal bawa Rohingya tunggu ceroboh Malaysia - Utusan Malaysia

5 kapal bawa Rohingya tunggu ceroboh Malaysia

KAWASAN perikanan Teluk Kumbar, Pulau Pinang didakwa semakin dipenuhi nelayan etnik Rohingya termasuk yang berpindah dari Bukit Malut, Langkawi, Kedah, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurang lima buah kapal membawa ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya kini berlindung di Pulau Koh Adang, Laut Andaman di selatan Thailand menunggu peluang ‘menyelinap’ masuk ke negara ini.

Difahamkan, setiap kapal memuatkan 250 hingga 350 PATI terbabit dipercayai berada di sempadan perairan antarabangsa tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, kapal- kapal yang dikendalikan sindiket dari Bangladesh itu sukar menyelinap masuk ke sempadan negara kerana kawalan ketat agensi penguat kuasa melalui Op Benteng bagi mengekang kemasukan PATI.

Menurut sumber lagi, siasatan mendapati kapal-kapal tersebut menunggu masa kehabisan minyak dan sumber makanan sebelum menagih simpati untuk mendarat serta diselamatkan kerajaan Malaysia.

Selepas itu, kumpulan terbabit merancang untuk mendapatkan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Mengikut maklumat, kapal-kapal tersebut kini dipercayai mendapat bekalan makanan dari negara jiran.

“Bagaimanapun, negara jiran yang ‘membantu’ tidak mahu menerima PATI itu masuk ke negara mereka,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, sumber berkata, siasatan mendapati puluhan ribu etnik Rohingya di Cox Bazar, Bangladesh menunggu ‘giliran’ untuk menaiki kapal dan datang ke negara ini.

Kata sumber, ia susulan keengganan mereka berpindah ke penempatan baharu di Pulau Bhasan Char yang dibina kerajaan Bangladesh.

“Penempatan itu mempunyai pelbagai kemudahan termasuk sekolah serta masjid selain kawasan untuk menjalankan aktiviti pertanian.

“Bagaimapun, etnik Rohingya mendakwa penempatan baharu itu seolah-olah penjara dan kemungkinan akan dibunuh di situ.

“Itu antara sebab mereka terus mencari peluang untuk membayar ejen bagi menyeludup masuk ke Malaysia,” ujarnya.

Julai lalu, Utusan Malaysia mendedahkan 86,155 PATI etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR berada di negara ini hampir menyamai bilangan 108,000 penduduk Putrajaya.

Dalam tem­poh enam bulan tahun ini hanya 317 pelarian mendapat penempatan di negara ketiga.

Mereka yang diberikan kad pelarian UNHCR hanya dibenarkan berada di Malaysia untuk sementara waktu.

Dedah Utusan Malaysia, etnik Rohingya berkenaan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjual organ badan bagi membayar sindiket yang didalangi etnik itu semata-mata untuk datang ke negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN