Tangani krisis Covid-19 ikut Perlembagaan - Tok Mat - Utusan Malaysia

Tangani krisis Covid-19 ikut Perlembagaan – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan diseru menangani krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 ketika ini dengan fokus dan berperlembagaan selain menggiatkan usaha mendidik masyarakat berasaskan sains serta data.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemampuan sistem kesihatan negara dalam menangani krisis itu adalah teruji dan telah diiktiraf sebagai salah satu negara dengan tindakan terbaik serta wajar dicontohi.

Oleh itu, katanya, sebarang tindakan menangani krisis berkenaan mestilah memaparkan keupayaan kerajaan bertindak dengan wajar, saintifik dan mengambil kira kepentingan awam.

“Malaysia tidak berada dalam keadaan kelumpuhan ekonomi, sistem kesihatan dan keselamatan awam.

“Malah Malaysia berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang berfokus, dirangsang dengan pelbagai stimulus yang selari dengan kepentingan rakyat dengan sistem kesihatan berfungsi dengan baik walaupun tertekan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, rakyat yang terkesan dengan krisis tersebut terus patuh dengan protokol kesihatan yang diwartakan malah terus gigih berikhtiar memberdayakan diri mereka dengan pekerjaan dan perniagaan bagi kelangsungan kehidupan.

“Saya menyeru agar kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berperlembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data. Pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada Perlembagaan,” katanya.

Menurutnya, sesuatu yang membelakangkan sains, menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan Perlembagaan Persekutuan meletakkan negara dan rakyat dalam keadaan lebih sulit serta memburukkan lagi keadaan.

“Tanganilah krisis ini dengan mempertahankan Perlembagaan, membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemas respons sistem kesihatan dan keselamatan awam serta mengutamakan kepentingan rakyat biasa dengan tidak menambahkan kesususahan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya