PORT DICKSON: “Sedih apabila lihat kehidupan laut mati disebabkan tumpahan minyak. Operasi ini paling sukar dan agak meletihkan.” Itu luahan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Nora Basrawi, 44.
Dia antara sukarelawan yang menyertai operasi pembersihan susulan insiden tumpahan minyak di Pantai Cermin, Batu 10 dekat sini yang berlaku Isnin lalu.
Menurut Nora, operasi pembersihan tumpahan minyak itu merupakan pengalaman pertamanya selepas menyertai Rela sejak setahun lalu.
“Ini kali pertama kali saya menyertai operasi tumpahan minyak sepanjang saya berkhidmat sebagai anggota Rela di Alor Gajah, Melaka. Sebelum ini, saya hanya menyertai kawalan lalu lintas untuk program kerajaan dan swasta serta kenduri kahwin.
“Pada mulanya, agak sukar kerana bukan mudah untuk membersihkan batu-batu ini menggunakan absorbent pad. Saya baru pulang bekerja malam dan sambung bertugas di sini, mental agak letih namun terus bersemangat kerana rakan-rakan sukarelawan bersama-sama membantu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia semalam.

Sementara itu, sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Muhamad Danial Hakim Rostam, 20, berkata, operasi pembersihan itu agak rumit berbanding ketika dia mengikuti operasi di pusat kuarantin penempatan pesakit Covid-19.
“Ini kali pertama menyertai operasi tumpahan minyak dan ini operasi paling mencabar kerana perlu membersihkan batu dan perlu mengelap minyak. Paling sedih apabila saya melihat tumpahan ini menyebabkan ekosistem dan habitat laut mati, semasa pembersihan kami menjumpai ketam, udang kara yang terkena minyak,” katanya.
Seorang lagi anggota APM, Hakim Sariman, 19, berkata, dia baru sahaja menyertai APM dua bulan lalu dan ini operasi luar pertama yang disertainya.
“Tugas di sini mencabar kerana kami perlu membuat pembersihan kesan minyak yang terdapat di batu dan pokok bakau dan bagi saya ia satu pengalaman yang menarik.
“Ia berbeza dengan rutin kerja seharian yang mana kami beruniform, tetapi di sini kami terpaksa memakai pakaian yang dikhaskan,” katanya.
Sementara itu, operasi pembersihan pantai semalam melibatkan kerja-kerja scooping yang turut disertai 30 anggota tentera dari Kem (Dua Armor) Port Dickson dan 30 anggota APM. – UTUSAN










