KUALA LUMPUR: Pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier akan dibekukan (moratorium) selama dua tahun bermula 14 September 2020 sehingga 15 September 2022.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, keputusan itu dibuat menerusi kuasa pelesenan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 dan boleh disemak semula pada bila-bila masa berdasarkan keperluan.
Katanya, semasa tempoh moratorium berkuat kuasa, SKMM tidak menerima permohonan lesen baharu semua kategori untuk menjalankan perkhidmatan kurier.
“Permohonan yang diterima sebelum tarikh kuat kuasa moratorium dan permohonan pembaharuan lesen sedia ada akan diproses untuk kelulusan. Setakat Oktober 2020, terdapat 109 pemegang lesen perkhidmatan kurier pelbagai kategori beroperasi di Malaysia.
“Moratorium dilaksanakan untuk memberi laluan kepada Kerajaan bersama industri pos dan kurier membuat perancangan baharu bagi memperkukuh sektor tersebut yang berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran,” kata kenyataan dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat SKMM hari ini.
Langkah itu juga sejajar dengan gesaan rasmi yang dihantar oleh Persatuan Syarikat Penghantar Ekspress Malaysia (AMEC) sejak Ogos lalu.
AMEC ialah gabungan 25 syarikat kurier utama di Malaysia termasuk Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn. Bhd., City-Link Express (M) Sdn. Bhd. dan lain-lain.
Tambah SKMM, proses merangka pelan tindakan baharu dilaksanakan menerusi penganjuran Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) yang bakal berlangsung selama tiga minggu, bermula 2 November 2020.
“Apabila siap nanti, laporan penuh yang mengandungi cadangan pelan tindakan bagi menyokong aspirasi pembangunan strategik industri pos dan kurier baharu itu dimuat naik dalam laman sesawang MCMC untuk rujukan semua.
“Hasil NPCIL penting untuk industri ini yang menjadi teras kepada aktiviti e-dagang dan pembangunan ekonomi digital yang menghadapi pelbagai cabaran baharu dicetuskan ledakan teknologi. Ia mengakibatkan pecantuman sektor logistik, platform e-dagang, e-hailing dan sistem transaksi kewangan. Kajian terakhir mengenai industri pos dan kurier dilakukan pada tahun 2009,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE