fbpx

4 Disember 2020, 12:59 pm

  TERKINI

Rasuah: Warga Singapura direman lima hari

SEORANG warga Singapura dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, hari ini untuk prosiding tahanan reman berhubung kes rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan wang sebanyak RM100.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Faridatul Farrah Mohd. Shukri sehingga Khamis.

Semalam, lelaki itu ditahan SPRM kerana dipercayai memberi wang rasuah RM100 kepada seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen.

Menurut sumber SPRM, siasatan mendapati suspek memberi wang rasuah kepada pegawai terbabit supaya membenarkannya memasuki semula Malaysia tanpa menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Di bawah Program Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), mana-mana warga Singapura diwajibkan menjalani kuarantin seperti ditetapkan pihak berkuasa kedua-dua negara.

RGL ialah program yang membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi bagi kedua-dua negara.

Suspek berusia 43 tahun dan bertugas sebagai pengarah di sebuah syarikat swasta tersebut ditahan kira-kira pukul 3.50 petang semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE