Politik tidak stabil jejas keyakinan pelabur - Utusan Malaysia

Politik tidak stabil jejas keyakinan pelabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Landskap politik negara yang tidak stabil bukan sahaja mempengaruhi keyakinan pelabur malah menjejaskan pelaburan mereka dalam negara ini.

Keadaan itu sekali gus mengakibatkan trend pelaburan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkurang berikutan pelabur sama ada baharu atau sedia ada menginginkan jaminan khususnya dari segi kestabilan politik.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, ini bagi memastikan pelaburan mereka dapat memberikan pulangan berbaloi pada saat negara dihambat dengan kemelut politik dan penularan wabak Covid-19.

“Komponen pelaburan adalah penting untuk diberi perhatian. Para pelabur berasa tidak pasti sama ada mereka perlu untuk terus melabur atau tidak terutamanya apabila berlaku perubahan tampuk pimpinan kerajaan dalam masa yang singkat. Ini yang akan mengganggu urusan mereka.

“Ketidakpastian ini perlu diatasi dan ia bukannya dapat diselesaikan dalam tempoh satu atau dua bulan sahaja… terdapat kesan sebelum dan selepas sesuatu situasi itu berlaku yang sudah pasti memakan masa,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Kenyataan itu hadir selepas berlakunya beberapa episod pergolakan politik sepanjang tahun ini bermula dengan tumbangnya Pakatan Harapan (PH) sebelum terbentuknya Perika­tan Nasional (PN) pimpinan Per­dana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Krisis politik bertambah tegang apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha merampas kuasa daripada Muhyiddin dengan mendakwa mendapat sokongan 121 ahli Parlimen.

Keadaan ini memberi tanggapan negatif kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff mempunyai pandangan berbeza. Katanya, pelaburan dalam negara ini mencatatkan RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan bagi enam bulan pertama tahun ini.

Rekod tersebut walaupun lebih rendah daripada pelaburan enam bulan pertama iaitu pada 2019 iaitu RM92 bilion dan RM85.5 bilion (2018) tetapi masih menunjukkan perkembangan positif dan dijangka akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

Ditanya jika benar rampasan kuasa Anwar mempengaruhi trend pelaburan dalam negara, beliau tidak fikir sedemikian kerana setiap rancangan pelaburan adalah berdasarkan perancangan jangka panjang.

Sementara itu, Penganalis Ekonomi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Shah Mohd. Dali berkata, tidak dinafikan semua pelabur berada dalam keadaan berhati-hati teruatama ketika Covid-19 masih berleluasa.

“Cuma ada kebimbangan terhadap pelabur-pelabur baharu yang merancang untuk melabur di negara ini namun tertangguh ekoran keadaan politik yang masih belum reda,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya