TAIPING: Operasi beberapa premis di sekitar kawasan Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Kamunting ditutup bermula hari ini selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penutupan itu turut melibatkan Jalan Taming Sari bermula dari Mess Renjer hingga lampu isyarat persimpangan Sekolah Kebangsaan (SK) Klian Pauh.
Keputusan penutupan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang dipengerusikan Pegawai Daerah, Mohamed Akmal Dahalan semalam.
Pejabat Daerah dan Tanah LMS dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya memberitahu, PKPD Penjara Taiping meliputi kawasan Kuarters Anggota Penjara, Berek Hitam dan Blok Bunga Tanjung (di sebelah SK Klian Pauh).
Katanya, operasi di Muzium Perak turut ditutup sepanjang PKPD.
“Penutupan turut melibatkan kedai makan Nasi Lemak Kambus, Mom’s Prison, Nursery Yard Master dan Tokong Ling Nam Ku Miew,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar hariannya memberitahu, kerajaan melaksanakan PKPD di sembilan penjara di zon Utara dan Selangor i hingga 4 November ini.
Penutupan itu membabitkan Pusat Koreksional Perlis; Penjara Sungai Petani; Penjara Taiping; Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah di Zon Utara.
Zon Selangor pula membabitkan Penjara Reman Sungai Buloh; Penjara Kajang; Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam. – UTUSAN ONLINE