fbpx

30 November 2020, 3:28 am

  TERKINI

Pemandu maut dihempap jentera penggelek jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang pemandu jentera penggelek jalan maut akibat dihempap jentera tersebut di Kampung Paya Ketiau, Padang Serai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, jentera dikendalikan mangsa, Mohd. Riduan Mohd. Ali, 33, hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam tali air.

Mangsa dari Kampung Keda Sungai Salleh, Serdang dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat dihempap jentera berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakan sedang melakukan kerja-kerja pembaikan jalan di kampung tersebut.

Katanya, mangsa yang menggendalikan jentera itu tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan jentera itu terbalik ke dalam tali air.

“Mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri lalu dihempap dan tersepit di bawah jentera penggelek itu.

“Rakan mangsa yang melihat kejadian terus menyelamatkan mangsa dengan mengunakan jengkaut bagi mengangkat jentera tersebut sebelum menghubungi panggilan kecemasan untuk bantuan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, rakannya berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi mangsa dipercayai telah meninggal dunia.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Habis