Operasi Mahkamah Syariah enam negeri ditangguh - Utusan Malaysia

Operasi Mahkamah Syariah enam negeri ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perkhidmatan dan operasi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) yang melibatkan orang awam di enam negeri ditangguhkan bermula hari ini sehingga 9 Oktober.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, enam negeri itu ialah Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sarawak kecuali Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak dan Mahkamah Syariah Daerah Sibu.

Beliau berkata, bagi negeri Terengganu, tempoh penangguhan adalah sehingga 11 Oktober dan melibatkan perkhidmatan serta operasi di kesemua negeri tersebut termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh serta pendaftaran kes.

Katanya, tindakan penangguhan itu dibuat memandangkan majoriti pegawai di JKSN itu disenaraikan sebagai kontak rapat kes positif Covid-19 iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 (PKPSN 2020) pada 29 dan 30 September lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi negeri-negeri lain kecuali di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Semporna adalah beroperasi seperti biasa.

“Semua program latihan, muzakarah atau bengkel melibatkan JKSM dan negeri-negeri yang melibatkan kehadiran secara fizikal hendaklah ditangguhkan sehingga 31 Oktober.

“Pengurusan kes rayuan yang melibatkan saya dan kontak rapat ditangguhkan sementara waktu sehingga keputusan rasmi saringan Covid-19 diperoleh daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai sekatan rentas negeri di Sabah, maka kes rayuan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah yang melibatkan panel rayuan JKSM bermula 12 Oktober ini juga adalah ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Penyelarasan Perkhidmatan dan Operasi JKSN dan Mahkamah Syariah Negeri secara dalam talian, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im memberitahu, JKSM dan JKSN mengambil pelbagai pendekatan secara berhati-hati sebelum dan semasa penganjuran PKPSN 2020 dengan memberi penekanan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Malah, katanya, JKSM dan JKSN bersedia memberi kerjasama bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dielakkan dan pada masa sama pengurusan kes dapat berjalan dengan baik serta diselaraskan di antara negeri-negeri yang terlibat.

“Semua pihak dimohon tidak membuat sebarang spekulasi, kenyataan atau menyebarkan apa-apa berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga kerja, masyarakat dan orang awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN