Lebih RM30 juta sumbangan Covid-19 dibelanjakan - Utusan Malaysia

Lebih RM30 juta sumbangan Covid-19 dibelanjakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan semula akaun bagi penerimaan sumbangan orang ramai untuk kegunaan barisan hadapan selepas berlaku peningkatan semula kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, penerimaan sumbangan yang disalurkan atas nama Akaun Amanah Pembelian Alat Kelengkapan, Keperluan Perubatan, Kemudahan dan Perkhidmatan di Fasiliti KKKM sebelum ini menerima sebanyak RM31.67 juta selepas ditutup pada 31 Mei lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM30.59 juta dibelanjakan setakat 30 September lalu dengan baki sumbangan sebanyak RM1.074 juta.

“Sumbangan tunai yang diterima digunakan bagi tujuan membeli alat-alat kelengkapan perubatan antaranya ventilator, Infra-red Thermometer, Ultrasound, katil-katil pesakit dan patient-monitor.

“Selain itu, pembelian reagen untuk ujian Covid-19 dan penghantaran pegawai-pegawai KKM untuk bertugas di Sabah bagi membantu menangani wabak ini di negeri tersebut turut menggunakan sumbangan tunai ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, KKM mengalu-alukan syarikat, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai tampil memberikan sumbangan selepas terdapat pertanyaan banyak pihak yang ingin berbuat demikian bagi membantu.

Beliau menjelaskan, Kementerian Kewangan meluluskan kemudahan potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi sumbangan tunai ke akaun amanah itu.

Katanya, sumbangan tunai boleh disalurkan melalui akaun Sumbangan Perubatan KKM (RHB Bank) nombor akaun: 2-66016-0002347-5.

“KKM tidak melantik sebarang pihak atau ejen bagi melaksanakan kutipan sumbangan tunai atas nama kementerian ini. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-88833111 atau melalui e-mel di sumbangan [email protected],” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN