Lantik Aznel setiausaha politik MB bukan motif politik - Utusan Malaysia

Lantik Aznel setiausaha politik MB bukan motif politik

ZAINOL Fadzi (kanan) melawat bekas wartawan, Jaspal Singh yang baru menjalani pembedahan akibat kencing manis di rumahnya di Taman Suria di Ipoh pada 24 Oktober 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar dalam kalangan orang  UMNO perlu dilihat sebagai membantu kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan bukannya bermotifkan politik.

Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, selaku wakil rakyat yang ada pengalaman dua penggal, pelantikan Datuk Aznel Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu adalah  bersesuaian.

Menurut beliau, dengan pengalaman luas, sudah tentu ia membantu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam semua urusan.

“Tak semestinya Datuk Aznel kerana sesiapa pun boleh dilantik (untuk jawatan itu) dan kebetulan beliau ADUN daripada UMNO. Mungkin Menteri Besar melihat yang beliau boleh memberi sumbangan.

“Saya tidak melihat pelantikan itu bermotifkan politik tetapi lebih kepada melihat kestabilan peringkat pentadbiran kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat bekas wartawan New Straits Times (NST) dan Malay Mail, Jaspal Singh yang menderita kencing manis sehingga kehilangan kaki kanan di rumahnya di Taman Suria di sini hari ini.

Jaspal yang menjalani pembedahan awal September bergelar wartawan pada 1997 dan pernah berkhidmat sebagai wartawan New Straits Times (NST) selama 12 tahun dan Ketua Biro Malay Mail selama 18 bulan sebelum mengambil keputusan bersara pada 2016.

Terdahulu, pada lawatan itu, Zainol Fadzi memberi bantuan peribadi selain sumbangan daripada rakan-rakan media Perak yang disampaikan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP).

Mengulas lanjut Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Bersatu Perak berkata, beliau tidak faham mengapa pelantikan tersebut menjadi pertikaian dan dibantah pihak tertentu khususnya daripadaparti yang diwakili Aznel.

“Pada saya agak pelik sebab orang-orang Bersatu ‘steady’ sahaja, patutnya mereka yang marah, kenapa lantik UMNO bukan Bersatu. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku dan terbalik pula apabila pihak parti Aznel pula yang membantah.

“Jadi saya tidak faham, sebagai ahli politik kita patut bangga bila ada pemimpin parti dilantik untuk jawatan yang agak tinggi di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, isu tersebut kini reda apabila semua pihak menyokong gencatan politik dan menumpukan usaha-usaha membantu rakyat dalam menghadapi krisis ekoran pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya