KUALA LUMPUR: Jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terpaksa diadakan dalam masa terdekat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mempertimbangkan beberapa perkara sebagai langkah pengawalan Covid-19 antaranya memanjangkan tempoh masa pengundian ke beberapa hari.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menegaskan, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, proses pengundian dan pengiraan undi tidak semestinya perlu diselesaikan dalam tempoh sehari seperti kebiasaan.
Beliau berkata, bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat mengundi, SPR boleh melaksanakan pengasingan hari mengundi mengikut peringkat umur.
“Andai kata Dewan Rakyat dibubarkan sekarang yang mana gelombang ketiga Covid-19 masih mencatatkan peningkatan kes, mahu tidak mahu SPR perlu adakah pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari.
“Banyak perkara boleh dipertimbangkan contoh panjangkan tempoh hari mengundi ke beberapa hari. Contohnya mengundi selama dua hari. Hari pertama untuk warga emas yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti Covid-19 manakala hari kedua pula untuk orang muda dan sebagainya.
“Semua ini boleh diputuskan berdasarkan budi bicara SPR. Dulu pilihan raya di Sabah dan Sarawak juga berjalan selama beberapa hari. Tapi kalau ini mahu dilakukan, pihak polis perlu benar-benar bersedia untuk menjaga peti undi bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, penubuhan kerajaan interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah pilihan terakhir sebelum mengisytiharkan darurat susulan tiada ahli Parlimen cukup majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Seri Paduka juga mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Rakyat bagi menamatkan kemelut politik ini daripada terus berpanjangan.
Dalam pada itu, Wan Ahmad menambah, SPR juga boleh menetapkan tempoh berkempen paling minimum iaitu selama 11 hari dan meluaskan skop pengundian awal serta undi pos.
Katanya, pengundi yang tinggal di luar kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didaftarkan boleh dipertimbangkan untuk mengundi secara undi pos bagi mengelakkan rentas negeri secara beramai-ramai.
“Kempen secara terbuka juga boleh dihadkan. Contohnya ceramah umum sehingga pukul 6 petang sahaja. Saya fikir tiada masalah kerana kempen boleh dijalankan secara dalam talian,” ujarnya. – UTUSAN










