Guna Peraturan Mesyuarat kemuka usul undi tidak percaya - Utusan Malaysia

Guna Peraturan Mesyuarat kemuka usul undi tidak percaya

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang akan menggunakan Peraturan Mesyuarat (Point of Order) dalam persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula 2 November ini sekiranya usul tidak percaya tiada dalam aturan mesyuarat.

Peraturan Mesyuarat boleh digunakan ahli Dewan Rakyat bagi mendahulukan usul tertentu yang dianggap penting untuk dibahas dan diundi bagi menetapkan keputusan atau membuat pindaan terhadap usul tersebut.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, meskipun tertakluk kepada aturan mesyuarat Parlimen, usul tidak percaya itu perlu diberi keutamaan selaras dengan situasi semasa kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam keadaan semasa kini unik kerana Perdana Menteri menerima tamparan politik apabila cadangan isytihar darurat ditolak 100 peratus. Jika kita melihat mana-mana sistem demokrasi, seorang Perdana Menteri yang mengalami kekalahan secara terhormat perlu melakukan perkara sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini, Muhyiddin dilaporkan menerima usul tidak percaya paling banyak dalam sejarah negara daripada ahli-ahli parlimen.

Selain Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mempertikaikan kenapa usul itu tidak dibenarkan dibawa ke Dewan Rakyat, lima lagi ahli parlimen parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan 11 ahli parlimen parti Amanah Negara (Amanah) melakukan tindakan sama.

Antaranya, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah.

Seramai 11 ahli parlimen daripada Amanah turut mengemukakan usul sama pada 16 Oktober lalu yang merupakan hari terakhir pemberian usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun.
Usul tersebut dihantar sekali dengan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin selaku Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN