Gagal seludup 200 kotak minyak masak bersudsidi ke negara jiran - Utusan Malaysia

Gagal seludup 200 kotak minyak masak bersudsidi ke negara jiran

MINYAK masak cuba diseludup ke negara jiran yang dirampas di Ayer Lanas, Jeli, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Cubaan menyeludup 200 kotak minyak masak seberat 3,400 kilogram bernilai RM8,500 ke negara jiran digagalkan pihak berkuasa dalam operasi di Ayer Lanas, di sini semalam.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, rampasan dilakukan kira-kira pukul 4 pagi hasil maklumat risikan pasukannya bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, dalam operasi itu didapati seorang lelaki sedang memindahkan kotak disyaki minyak masak dari sebuah van jenis Ford Econovan ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand.

“Pasukan mengekori suspek yang bergerak menghala ke arah pengkalan haram Wakaf Zin, Ayer Lanas, Jeli dan disyaki mahu memunggah barang kawalan itu di tebing sungai sempadan negara.

“Suspek yang menyedari diekori melarikan diri ke dalam semak berhampiran sungai tersebut.
Ketika itu, pasukan ATM dari Rejimen Askar Melayu Diraja di Pos Wakaf Zin yang sedang menjalankan tugas turut membantu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azanizam Affendi, pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan suspek menemukan minyak masak bersubsidi dengan anggaran kuantiti sebanyak 120 kotak disyaki untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan sungai di sempadan negara.

Katanya, pasukan juga membuat pemeriksaan lanjut ke atas van yang berada di tepi lebuh raya tersebut dan menjumpai sebanyak 80 kotak minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

Katanya, kesemua barang kawalan bersubsidi itu disita bersama dua buah kenderaan berkenaan yang mana minyak masak itu dibawa ke stor penyimpanan barang kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Modus operandi penyeludup mengumpul minyak masak dipercayai diambil dengan pembekal di kawasan sekitar termasuk dari Kota Bharu, sebelum diseludup ke negara jiran.

“Kami bersama agensi penguatkuasaan di sempadan negara memberi amaran keras supaya aktiviti ini tidak berlaku serta memandang serius tindakan penyelewengan subsidi negara ini.

“Kerjasama antara agensi tersebut sentiasa dijalankan dari masa ke semasa bagi membendung aktiviti tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya