Berkualitikah racun sah padi CL2? - Utusan Malaysia

Berkualitikah racun sah padi CL2?

ABD. GHANI MOHD. ROS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Timbul keraguan dalam kalangan pesawah di Paya Sepayang di sini sama ada benih ‘padi kebal’ CL2 yang dipakejkan bersama racun membunuh padi angin berkualiti atau sebaliknya.

Ini kerana, golongan pesawah di situ berasakan seakan ditipu walaupun berbelanja tinggi, namun penggunaan CL2 berserta racun yang dibekalkan masih gagal membunuh padi angin.

Pesawah Paya Sepayang, Abd. Ghani Mohd. Ros, 55, berkata, pesawah buntu dan terus mengalami kerugian apabila penggunaan CL2 yang sah belum dapat menghapuskan padi angin.

“Sudahlah benih dan racul mahal tetapi padi angin masih tidak dihapuskan dengan racun yang dibekalkan bersama benih CL2 menyebabkan kami tidak tahu berbuat apa dan rasa terbeban.

“Kami pelik, kalau dulu guna tiga paket sahaja racun rumput pun mati bersama padi angin tetapi kini guna 10 paket pun padi angin tak mati, kami rasa tertipu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sawah Paya Sepayang di sini.

Benih ‘padi kebal’ CL2 beserta dengan racun berharga RM95 dijual secara sah bagi mengatasi masalah padi angin yang dihadapi pesawah sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, Abd.Ghani yang telah mengusahakan padi lebih 30 tahun berkata, dia mendapatkan benih CL2 yang sah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, selepas masalah itu berlarutan di seluruh negara seharusnya pihak berkaitan mengkaji semula kandungan racun sama ada sudah tidak sesuai atau mengalami masalah kualiti.

“Ancaman padi angin ini berlaku di seluruh Malaysia dan seharusnya pihak berkaitan perlu segera membuat kajian mengenai kandungan racun sama ada masih sesuai atau kurang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Abdul Muttalib Abdullah, 48, berkata, pesawah buntu kerana masalah padi angin berlarutan walau bermacam cara dilakukan mereka.

Ujarnya, dia bukan sahaja menggunakan benih CL2 tetapi melakukan racun tapak sebanyak dua kali sebelum menabur tetapi sia-sia apabila masalah padi angin masih berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN