Berang masalah air lebih setahun - Utusan Malaysia

Berang masalah air lebih setahun

SYARIKAT Ranhill SAJ mengagihkan air kepada penduduk Kampung Mohd. Noor, Mukim Limau, Batu Pahat, Johor yang mengalami masalah bekalan keperluan asas itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Masalah gangguan bekalan air di Kampung Mohd. Noor, Mukim Limau di sini yang berlarutan lebih setahun me­nimbulkan kemarahan 500 penduduk yang terganggu dan tertekan dengan keadaan itu.

Ketua kampung tersebut, Mohd. Nazreen Abd. Samad berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk sukar meneruskan rutin harian apabila bergantung kepada bekalan berkala syarikat penyedia bekalan air Johor, Ranhill SAJ.

Katanya, situasi itu bertambah serius apabila bekalan air terputus sejak minggu lalu menyebabkan penduduk bertambah berang dengan masalah itu yang tidak pernah selesai.

“Setiap kali tiada air, setiap kali itulah penduduk menghubungi SAJ dan surat rasmi juga dihantar, namun masalah gangguan bekalan tidak pernah selesai. Jika dapat bekalan air lori tangki, jumlahnya terhad dan hanya untuk kegunaan membasuh baju, memasak dan membasuh pinggan.

“Hendak mandi terpaksa ala kadar dan ada tak mandi. Ini belum lagi jika berlaku kematian, lagilah bertambah beban,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang penduduk, Rahmat Ali, 51, berkata, jika air paip keluar sekalipun, ia keruh dan kotor hingga tidak boleh digunakan untuk memasak serta diminum.

“Kebelakangan ini situasi semakin buruk dan ada ketikanya sehingga tiga hari tiada langsung bekalan air bersih. Kami diberitahu masalah itu berpunca daripada tekanan air yang rendah dan kotor,” katanya.

Bagi seorang peniaga, Mohd. Suffian Md Ali, 37, bantuan berkala yang diberikan Ranhill SAJ tidak mencukupi sekali gus menjejaskan perniagaan kedai makan diusahakannya.

“Kini saya terpaksa guna peralatan perniagaan pakai buang yang menyebabkan kos perniagaan bertambah,” katanya.

Selain itu, seorang penduduk, Mohd. Azid Tugiman, 41, berkata, masalah itu menyebabkan dia terpaksa membeli tangki air baharu untuk menyimpan air bagi kegunaan ibunya, Sanipah Sabar, 73, yang uzur kerana pe­nyakit angin ahmar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN