Banjir hantui penduduk Tanjung Piai - Utusan Malaysia

Banjir hantui penduduk Tanjung Piai

Kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Tanjung Piai pada Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 10 kejadian banjir melanda sekitar projek tambak pulau buatan berhampiran Taman Negara Tanjung Piai di Pontian tahun ini yang dipercayai berpunca daripada keadaan pesisir laut yang semakin cetek.

Empat kampung yang terjejas walaupun hujan sekejap membabitkan Penerok, Teluk Kerang, Peradin dan Serkat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan Mukim Serkat, Mansor Maidin berkata, setiap kali banjir ada penduduk terpaksa pindah ke pusat pemindahan kerana air masuk rumah sehingga paras lutut.

Menurut beliau, banjir tersebut turut merosakkan tanaman kontan dan kelapa sawit yang kemudiannya memberi kesan kepada periuk nasi mereka.

“Walaupun banyak punca berlaku banjir seperti masalah perparitan tetapi projek penambakan pulau buatan turut menyumbang kepada masalah tersebut.

“Perkara tersebut pernah dibangkitkan kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini tiada penyelesaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia kelmarin menyiarkan luahan nelayan Tanjung Piai yang bimbang dengan `gangguan’ kepada ekosistem alam sekitar ekoran pembinaan pulau buatan.

Mansor berkata, kejadian banjir terbaharu pada Julai lalu telah menyebabkan agensi kerajaan seperti Agensi Pertahanan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turun membantu penduduk.

Katanya, pihak beliau telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk mengadakan pertemuan bagi membawa isu penambakan laut termasuk masalah banjir.

Katanya, pertemuan itu sepatutnya berlangsung baru-baru ini namun ditangguhkan kerana Hasni perlu menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah.

“Kami juga mahu membangkitkan beberapa perkara antaranya perjanjian dimeterai Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan dengan pemaju penambakan laut pada 2015.

“Perjanjian tersebut dilihat berat sebelah apabila kami tidak boleh membuat sebarang tuntutan selepas menerima pampasan antara RM2,000 hingga RM3,000 walaupun kesan tambakan pulau tersebut sedang menjejaskan kehidupan kami,” katanya.

Oleh itu, Mansor berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam hal tersebut kerana ia melibatkan melibatkan masa depan kira-kira 400 nelayan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN