Baitulmal bantu M. Daud Kilau - Utusan Malaysia

Baitulmal bantu M. Daud Kilau

Mohd. Akmal Kamarudin menziarah M. Daud Kilau di Bagan Datuk pada 30 September 2020 - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan negeri akan membantu penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau yang mengalami masalah kesihatan selain hilang mata pencarian kerana tidak lagi mampu membuat persembahan pentas.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, Baitulmal sedang mengkaji bantuan sesuai selepas melihat sendiri keadaan penyanyi berusia 82 tahun itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersimpati dengan M. Daud Kilau yang uzur, menghidap pelbagai penyakit, tidak dapat mencari rezeki dan terputus pendapatan.

“Baitulmal akan memproses bantuan. Kita bawa sumbangan awal yang akan disusuli beberapa jenis bantuan lain. Baitulmal akan meneliti terlebih dahulu.

“Sebagai contoh jika beliau tinggal menyewa di rumah ini, kita akan usahakan membayar sewa itu,” katanya ketika menziarahi penyanyi tersebut di sini semalam.

Turut hadir pegawai Baitulmal dan Pegawai Tadbir Agama daerah, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Jabatan Penerangan negeri.

Sementara itu, M. Daud Kilau menyatakan rasa gembira dan terharu di atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesihatannya.

“Separuh penyakit saya ini rasanya macam hilang apabila menerima kunjungan kerajaan negeri,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil serta bergantung kepada pengambilan ubat setiap hari.

“Saya menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga atau empat bulan sekali. Sebelum ini saya membuat pemeriksaan di Hospital Selayang, Selangor.

“Namun kerana terpaksa menunggu terlalu lama, saya minta buat rawatan di Hospital Teluk Intan dan sekarang buat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk,” katanya.

M. Daud Kilau berkata, beliau masih berhasrat membuat persembahan bagi mengubat kerinduan peminat.

“Kalau kesihatan pulih, saya akan berjumpa peminat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya