400 anggota terlibat PKPD, PKPB Nilai - Utusan Malaysia

400 anggota terlibat PKPD, PKPB Nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kira-kira 400 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat sepanjang penugasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Nilai, dekat sini yang bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, jumlah tersebut termasuk jumlah anggota yang membuat kawalan keselamatan di tiga blok asrama pekerja di Putra Point, Nilai yang dilaksanakan PKPD.

“Sekiranya terdapat keperluan, jumlah keanggotaan tersebut ditambah dari semasa ke semasa. Kawat duri yang dibekalkan oleh ATM juga mula dipasang.

“Dianggarkan kira-kira 180 pekerja belum mendapat keputusan (ujian saringan). Saya tak jangkakan masalah besar dalam pelaksanaan PKPD ini sebab tempat ini dalam kawalan dan kami mengkuatkuasakan peraturan ditetapkan.
Kita juga mempunyai mekanisme yang cukup untuk halang (pekerja lolos),” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan PKPB di Zon Nilai berkuat kuasa hari ini hingga 10 November ini.

PKPD turut dilaksanakan di Putra Point dengan dua lokaliti iaitu tempat tinggal pekerja asrama yang dikesan menyumbang kepada kes Covid-19.

Susulan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan sebanyak 35 lokaliti termasuk taman perumahan di Nilai yang terlibat dengan pelaksanaan PKPB serta tiga batang jalan iaitu Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B, Jalan BBN 1/7E yang terletaknya tiga buah blok asrama pekerja yang terlibat dalam pelaksanaan PKPB.

Sementara itu, Che Zakaria memaklumkan, pihaknya melaksanakan lima sekatan jalan raya di sekitar Nilai yang turut melibatkan anggota tentera dan Rela.

“Selain sekatan jalan raya, dua pasukan kereta peronda polis (MPV) membuat rondaan. Saya minta penduduk supaya mematuhi peraturan yang diwartakan untuk PKPB dan PKPD ini.

“Saya juga menasihatkan penduduk yang terlibat dengan PKPB saya duduk di rumah jika tiada keperluan untuk bergerak keluar. Diharapkan beri kerjasama sepenuhnya dalam usaha kita lawan pandemik Covid-19, insya-Allah kita dapat atasi masalah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.