Tutup sempadan akibat Covid-19, 900 pelajar Kolej Marlborough terjejas - Utusan Malaysia

Tutup sempadan akibat Covid-19, 900 pelajar Kolej Marlborough terjejas

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor berharap Kerajaan Pusat dapat melonggarkan lagi pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura terutama bagi mereka yang berulang-alik antara kedua-dua negara setiap hari.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kebenaran keluar dan masuk itu termasuk kira-kira 900 penuntut Kolej Marlborough Malaysia di Iskandar Puteri yang sebelum ini berulang-alik setiap hari sebelum pintu sempadan ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya menerima surat daripada kolej itu yang meminta kerajaan mencari jalan bagaimana kira-kira 900 penuntut mereka yang berulang-alik setiap hari dapat belajar semula.

“Mereka membayangkan kesukaran dihadapi kolej itu dan kemungkinan menghadapi risiko ditutup kerana tidak dapat menjalankan urusan seperti biasa,” katanya ketika
merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) 2019/2020 di sini semalam.

Dalam pada itu, Hasni berkata, Johor berhasrat membuka sebuah pejabat ekonomi, perdagangan dan pembudayaan di Singapura dalam usaha meningkatkan kefahaman antara kedua-dua negara memandangkan
masing-masing mempunyai kepentingan bersama.

Menurutnya, langkah itu dilihat dapat menerokai bidang yang mempunyai hubung kait bersama antaranya pelaburan, persempadanan dan perairan sekali gus memerlukan kerjasama erat antara kedua-dua belah pihak.

Mengenai perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu, Hasni berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberi kerjasama terbaik termasuk meluluskan enam usul dikemukakan pihak kerajaan demi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Kita berharap perkara ini berkekalan supaya isu besar contohnya kenaikan cukai tanah 40 peratus dapat diselesaikan bersama. Ini memandangkan timbulnya suara orang ramai agar kerajaan dapat kurangkan beban itu, maka kita bersetuju untuk beri rebat sehingga 15 peratus.

“Walaupun sedar hilang hasil pada pendapatan negeri, kita terus berusaha mencari hasil baharu dengan menerokai bidang lain bagi mentambah pendapatan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN