'Tumbangkan Warisan dahulu' - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

‘Tumbangkan Warisan dahulu’ – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob (kiri) bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memakaikan pin Kempen Tabung Pahlawan kepada artis dalam Majlis Santai Petang Menteri Pertahanan bersama Penggiat Seni Tanah Air di Kuala Lumpur, hari ini. -FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah perlu fokus untuk menumbangkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu penting demi memastikan kemenangan calon gabungan itu sebelum memikirkan soal calon ketua menteri.

Jelasnya, setiap parti komponen juga berhak mencadangkan calon ketua menteri masing-masing, namun, perkara yang lebih mustahak adalah berhadapan dengan musuh politik dahulu kerana sebarang keputusan yang akan dibuat selepas itu tertakluk kepada persetujuan rakan komponen lain.  

“Jika kita timbul isu di peringkat awal dan kalau berpecah sedikit sahaja daripada awal, sudah tentu kita boleh kalah. Kita mesti bersatu menumbangkan Warisan dan selepas itu, baru kita boleh menentukan atau bincangkan siapa ketua menteri. Apa yang penting, menang dahulu, kalau kalah hendak bincang apa?” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor memiliki keperibadian dan watak yang layak mengetuai pentadbiran negeri semasa membantu kempen PN di Sabah hari ini.

Azmin dilihat mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Hari Penamaan Calon PRN Sabah yang mahu Hajiji mengetuai pentadbiran Sabah sekiranya parti sekutu dalam PN dan Barisan Nasional (BN) sebagai Gerakan Rakyat Sabah bersetuju.

Terdahulu, Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kanan (Keselamatan) merasmikan Majlis Santai Petang bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).

Tabung yang dilancarkan sejak Ogos lalu dan berakhir pada Disember ini menyasarkan kutipan sebanyak RM10 juta dan jumlah terkini yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM300,000.

Mengulas mengenai tabung tersebut, beliau berkata, pendekatan kempen bagi menggalakkan sumbangan daripada orang ramai mahupun badan korporat perlu menggunakan medium media sosial berikutan pandemik Covid-19 yang mengehadkan penganjuran program berskala besar.

Oleh itu, katanya, setiap golongan artis yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial masing-masing disarankan membuat hebahan mengenai kempen kutipan tabung tersebut sekali gus membantu kira-kira 180,000 veteran ATM di negara ini.

“Hasil dana ini akan disalurkan kepada veteran ATM dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan yang tertumpu kepada veteran kelainan upaya, bantuan khas kepada balu dan anak-anak dalam kategori kelainan upaya, keluarga daif, rawatan perubatan serta keperluan lain.

“Dengan kerjasama ini, diharap dapat memupuk semangat patriotik dan cintakan negara terutamanya dalam kalangan belia bagi menghayati perjuangan dan pengorbanan pahlawan tanah air sekali gus menggalakkan masyarakat menyumbang kepada tabung tersebut,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya