Tindakan Anwar kucar-kacirkan negara - Utusan Malaysia

Tindakan Anwar kucar-kacirkan negara

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu semalam adalah percubaan Presiden PKR itu untuk mengkucar-kacirkan kepemimpinan negara.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu juga dilihat seolah-olah cuba mensabotaj ekonomi negara.

Katanya, tindakan Anwar menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan apabila kenyataan semalam dilaporkan oleh media antarabangsa.

“Dakwaan Anwar itu satu lagi gimik politik, tindakannya tidak baik kepada ekonomi negara tatkala kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh mencabar ini.

“Ia dilihat tidak lebih daripada percubaan untuk mengkucar-kacirkan kepemimpinan negara tatkala rakyat semakin yakin dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi susulan penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, semua ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri untuk terus menerajui negara.

Menurutnya, mereka menaruh keyakinan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin yang telah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara yang amat terkesan akibat penularan Covid-19 sejak enam bulan lalu.

“Sekiranya Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, beliau seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, semua ahli Parlimen Bersatu menyeru rakyat untuk kekal bertenang dan terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Kerajaan akan terus menumpukan segala perhatian kepada urusan pentadbiran negara dalam keadaan kita masih berperang melawan pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya