MELAKA: Aktiviti menangkap udang geragau menggunakan kaedah tradisional atau dipanggil menyungkur iaitu teknik menyodok anak udang bagaikan pesta di negeri ini apabila musim tangkapannya tiba pada setiap bulan.
Namun, tidak ramai yang menyedari risiko dan cabaran pencari geragau yang mereka terpaksa hadapi setiap kali turun ke laut demi membawa pulang hasil untuk dijual bagi menyara keluarga.
Bagi Amir Hamzah Mohd. Zain, 52, yang sepenuh masa menjadi nelayan berkata, menyungkur merupakan ‘kerjaya’ utamanya untuk menampung perbelanjaan harian walaupun kini jumlah tangkapan tidak seperti sebelum 10 tahun lalu.
Semuanya gara-gara aktiviti pembangunan seperti penambakan laut yang secara tidak langsung telah merosakkan ekosistem hidupan laut sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.
Malah, Amir Hamzah sendiri yang dahulunya menjadikan kawasan Pantai Klebang untuk mencari udang geragau kini terpaksa berhijrah ke Pantai Puteri di Tanjung Kling bagi meneruskan aktiviti itu.
Dakwanya, sejak penambakan laut bermula secara berperingkat 10 tahun lalu, kehidupan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut semakin terancam kerana tangkapan kian berkurangan.
“Hasil udang geragau yang diperoleh menerusi kaedah menyungkur secara turun-temurun kini semakin berkurangan walaupun ia dilakukan mengikut musim iaitu tempoh tertentu setiap sebulan sekali.
“Jika dahulu, saya mampu tangkap sehingga beratus-ratus kilogram (kg) pada setiap kali musim, kini hendak dapat 100kg sebulan pun sukar pada waktu-waktu tertentu, macam semalam saya turun beberapa jam di laut hanya dapat segenggam geragau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain faktor penambakan laut, Amir Hamzah berkata, mereka turut berdepan dengan cuaca yang tidak menentu selain dipukul ombak serta risiko disengat ikan ketika menyungkur di tengah laut.
“Baru-baru ini ketika fenomena air pasang besar di Pantai Puteri, saya dan beberapa rakan tetap turun menyungkur kerana di situlah punca rezeki kami kerana geragau hanya banyak pada musimnya,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Ramli Ibrahim, 48, berkata, kawasan tangkapan yang mengecil juga telah menjejaskan pendapatan mereka untuk menangkap udang geragau.
“Dahulu saya boleh menyungkur sejauh 2 kilometer, tetapi kini paling jauh pun hanya 500 meter kerana selain tambakan kawasan laut ada juga tembok pemecah ombak yang dibina berdekatan kawasan tangkapan kami.
“Sejak tembok itu dibina ia telah melenyapkan hasil udang geragau yang sebelum ini orang anggap sebagai ’emas kecil’ tetapi kini udang geragau tidak datang ke tepi lagi malah, aktiviti ‘melanggai’ udang besar juga terganggu,” katanya.
Justeru, mereka berharap pihak berwajib dapat mencari alternatif untuk memastikan udang geragau yang menjadi bahan asas dalam penghasilan belacan dan cencaluk tidak pupus serta kaedah menyungkur secara tradisi dapat dipertahankan. -UTUSAN