Sindiket rokok seludup, minuman keras RM8 juta tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket rokok seludup, minuman keras RM8 juta tumpas

MOHD. Yusoff Mamat (tengah) bersama Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail (kiri) melihat barang rampasan di sebuah gudang di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Cubaan satu sindiket membawa rokok seludup dan minuman keras bernilai hampir RM8 juta ditumpaskan dalam serbuan di sebuah gudang di Telok Gong, di sini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, lima individu berusia 24 tahun hingga 35 tahun termasuk tiga daripadanya pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya melakukan risikan dua bulan dan mengekori sebuah lori seberat lima tan jenis ‘bonded’.

Menurut beliau, anggotanya menahan lori tersebut dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipenuhi rokok seludup dan arak.

“Siasatan membawa kepada serbuan di gudang tersebut dan menemukan sebuah lagi lori jenis sama yang turut dipenuhi barangan larangan sama. Selain itu, kita turut menemukan sebuah kontena dari Pulau Pinang dipercayai digunakan sindiket untuk membawa masuk rokok dan minuman keras.

“Keseluruhannya, kita merampas 62,380 kotak rokok seludup dan 1,008 botol minuman keras dengan nilai keseluruhan hampir RM8 juta termasuk cukai. Ini adalah rampasan terbesar selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Turut ditahan lima individu iaitu dua daripadanya merupakan pemandu lori manakala selebihnya PATI warga Bangladesh iaitu penjaga gudang,” katanya dalam sidang akhbar di gudang tersebut petang ini.

Yang hadir sama Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail.

Mohd. Yusoff berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket menggunakan modus operandi dengan membuat pengisytiharan palsu membawa barangan seludup dipercayai dari Vietnam menggunakan kontena tersebut.

Katanya, sindiket telah membuat pengisytiharan palsu membawa baju terpakai, barangan plastik, beg dan biskut bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket juga mengubah cara penyeludupan dengan melalui jalan darat berbanding sebelum ini melalui lorong-lorong tikus menggunakan bot laju.

“Kita percaya, rokok seludup ini untuk diedarkan di pasaran Lembah Klang. Kita kini sedang mengesan beberapa kontena lain yang dipercayai menggunakan modus operandi sama dan berada di beberapa negeri lain.

“Berdasarkan keadaan gudang, kita percaya sindiket telah lama beroperasi dan kini sedang mengesan pemilik gudang bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.