Sembilan Tani dapat kebenaran semakan kehakiman notis pengosongan tanah - Utusan Malaysia

Sembilan Tani dapat kebenaran semakan kehakiman notis pengosongan tanah

ZUWITA Kamaruzaman (kiri) bersama pemilik syarikat Sembilan Tani, Nordin Abdullah (tengah) ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini membenarkan permohonan syarikat Sembilan Tani Sdn. Bhd. (Sembilan Tani) untuk melakukan semakan kehakiman terhadap pengeluaran Notis Pengosongan Tanah melalui Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara 1965, yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah Kecil Gemas terhadap sebidang tanah seluas 200 hektar di Gemas.

Hakim, Azizul Azmi Adnan ketika membuat keputusan tersebut menjelaskan, kebenaran tersebut diberikan selepas berpendapat kes dibawa oleh pihak pemohon bukanlah satu permohonan yang remeh dan ia wajar dihujahkan dengan lebih mendalam.

Keputusan itu selepas mendengar hujah dikemukakan oleh peguam bagi pihak Sembilan Tani, Zuwita Kamaruzaman dan Shameera Abdul Hamid serta Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Sharifah Nora Othman yang mewakili kerajaan Malaysia yang merupakan responden ketiga dalam permohonan tersebut.

Pada masa sama, Azizul Azmi turut mengarahkan supaya responden ketiga ditukar daripada kerajaan Malaysia kepada kerajaan Negeri Sembilan dalam pemfailan permohonan untuk semakan selepas mengambil kira pentadbiran tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.

Zuwita ketika ditemui pemberita di luar mahkamah kemudian memberitahu, susulan keputusan hakim tersebut pihaknya akan memfailkan permohan untuk semakan dalam masa terdekat.

“Hasil keputusan ini responden pertama dan kedua tidak boleh meneruskan untuk menghalau pemohon dari tanah tersebut sampai keputusan terhadap semakan kehakiman dikeluarkan.

“Sembilan Tani masih boleh terus beroperasi setakat ini, menjalankan perniagaan di atas tanah tersebut dan tidak dihalau keluar, berjalan seperti biasa,” katanya.

Responden pertama yang dinamakan pada permohonan tersebut ialah Pentadbir Tanah Daerah Gemas manakala Pejabat Daerah Kecil dan Tanah Gemas dinamakan sebagai responden kedua.

Pada 1988, Sembilan Tani telah didaftarkan sebagai pemilik berdaftar sebidang tanah seluas 200 hektar dalam mukim Gemas, Tampin untuk jangkamasa pajakan selama 30 tahun.

Kemudian, tanah yang merupakan berstatus tanah rizab Melayu itu diusahakan oleh Sembilan Tani dengan tanaman kelapa sawit dan beberapa aktiviti pertanian hiliran lain. 

Syarikat berkenaan kemudian mendakwa, sejak 2014 iaitu sebelum tempoh pajakan tersebut luput pada 2018, mereka ada membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh pajakan tetapi ditolak tanpa sebarang alasan. Kemudian syarikat tersebut juga telah mengemukakan permohonan untuk memajak tanah rizab di bawah Seksyen 63 Kanun Tanah Negara 1965 tetapi tiada keputusan diberikan.

Bagaimanapun, pada 1 Jun lalu, Pejabat Tanah dan Daerah Kecil Gemas telah menyerahkan Sembilan Tani dengan Notis Pemberitahuan Mengosongkan Tapak atas alasan bahawa Sembilan Tani telah menceroboh tanah kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.