Sarung tangan tidak terjejas - Utusan Malaysia

Sarung tangan tidak terjejas

KUAN Kam Hon (tengah) dan Kuan Mun Leong (kanan) melihat buku laporan tahunan Hartalega di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permintaan dalam sektor sarung tangan getah dijangka tidak terjejas walaupun vaksin pandemik Co­vid-19 ditemukan dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Eksekutif Hartalega Holdings Bhd., Kuan Kam Hon turut menjangkakan bekalan pengeluaran sarung tangan hanya dapat disesuaikan dengan permintaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menurut Kam Hon, permintaan penggunaan sarung tangan telah meningkat kepada 120 bilion keping disebabkan lonjakan kesedaran melibatkan kebersihan dan kesihatan susulan penularan Covid-19.

Beliau berkata, jumlah 120 bilion keping pertambahan permintaan itu tidak termasuk permintaan organik kekal iaitu sekitar lapan hingga 10 peratus setahun.

“Sekarang ini, industri me­ngalami kekurangan bekalan yang tinggi sedangkan permintaan meningkat. Jadi, kami tidak tahu sama ada industri mampu menyediakan 120 bilion sarung tangan dalam tempoh tiga tahun dan adakah ia mencukupi? Saya fikir tidak.

“Penghasilan sarung tangan adalah proses yang panjang termasuk transisi tempoh pertumbuhan dan pengembangan memakan masa sekurang-kurangnya tiga tahun, kami sentiasa berkembang tetapi berapa pengeluaran sarung tangan kami setahun? Mungkin hanya 20 peratus melebihi pertumbuhan organik.

“Bagi kami itu adalah cabaran besar kerana melibatkan kapasiti dan pengeluaran kami, 20 peratus itu adalah jumlah yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Hartalega di sini, semalam.

Tambah Kam Hon, peningkatan permintaan global sarung tangan yang menjangkau 120 bilion keping adalah disebabkan permintaan industri dalam pelbagai bidang termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan selepas Covid-19.

“Jika dilihat kepada peratusan pesakit Covid-19, ia hanya kira-kira tiga peratus populasi dunia, jadi mengapa permintaan tumbuh mendadak? Ia disebabkan kesedaran umum mengenai kebersihan dan kesihatan, malah sektor perkhidmatan serta makanan juga lebih banyak menggunakan sarung tangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, tiada isu melibatkan lebihan bekalan menjelang tiga tahun akan datang apatah lagi permintaan sarung tangan diunjur kekal kukuh dalam tempoh terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya