Rugi RM9,800 ditipu African Scam - Utusan Malaysia

Rugi RM9,800 ditipu African Scam

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang peniaga makanan wanita mengalami kerugian RM9,800 dipercayai ditipu sindiket didalangi warga Afrika yang lebih dikenali sebagai ‘African Scam’.

Dalam kejadian semalam, mangsa dikatakan dihubungi seseorang yang tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dan memaklumkan terdapat bungkusan atas namanya tiba di Butterworth, di sini.

Wanita itu dipaksa membuat bayaran jika mahu menuntut barang tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dari Jalan Raja Uda di sini dikatakan diugut membuat bayaran jika tidak mahu ditangkap dan dipenjarakan untuk tempoh lama.

Katanya,, mangsa berkomunikasi dengan seorang lelaki Cina yang mendakwa bungkusan miliknya dikesan mengandungi sejumlah mata wang asing dalam amaun yang besar setelah melalui proses imbasan.

“Wanita itu kemudian membuat enam transaksi kemasukan wang ke satu akaun bank diberikan suspek yang kesemuanya berjumlah RM9,800.

“Mangsa akhirnya berasa ditipu setelah diminta buat tambahan bayaran lalu membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik sindiket kononnya ada bungkusan dihantar dari luar negara, ditahan pihak kurier atau mengandungi barang terlarang.

“Orang ramai dinasihat membuat semakan dengan pihak kurier terlebih dahulu untuk memastikan kesahihan bungkusan sebelum membuat apa-apa bayaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.