Rasuah: Petugas AADK mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Rasuah: Petugas AADK mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan rasuah pada Februari tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Dayalan Gopal, 56, yang menjawat jawatan Pembantu Anti Dadah di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) didakwa cuba memperoleh secara rasuah sebanyak RM500 daripada Eng Boon Keong.

Wang suapan itu sebagai dorongan kepada Dayalan untuk mengeluarkan nama Boon Keong daripada senarai orang dikehendaki AADK di daerah ini.

Dayalan dituduh menerima suapan tersebut pada pukul 1 petang, 16 Februari lalu di Restoran Insaf Cemerlang di sini. 

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan di bawah seksyen tersebut, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000.

Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah menurunkan nilai wang jaminan kerana mempunyai tanggungan anak di kolej serta perlu menjalani rawatan susulan di hospital.

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Siti Aminah turut memerintahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya