PRN Sabah: Paling sengit, mencabar - Utusan Malaysia

PRN Sabah: Paling sengit, mencabar

Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumpa calon Bersatu DUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Sabah di Ibu Pejabat Bersatu Tuaran pada 12 September 2020. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-16 pada 26 September ini menyaksikan persaingan paling sengit dalam sejarah pillihan raya mana-mana apabila seramai 447 calon daripada 16 parti merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan pandemik Covid-19 belum pulih termasuk Lahad Datu kini dikategorikan sebagai zon merah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan PRN tersebut paling mencabar untuk dikendalikan berikutan pertambahan 13 lagi kerusi dan penyertaan ramai calon.

Menyatakan demikian dalam sidang akhbar SPR di Kompleks Kerajaan Persekutuan di sini semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah pencalonan tertinggi adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS) diketuai bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan 73 calon.

Penyandang kerajaan negeri, Parti Warisan diterajui presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula bertanding di 53 kerusi, disertai sekutunya dalam gabungan Warisan Plus iaitu UPKO (12), PKR (7) dan Amanah (1). DAP yang bertanding tujuh kerusi memilih memakai logo Parti Warisan.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 41 calon, Perikatan Nasional (29) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), 22 kerusi.

BN Sabah diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin dianggotai UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). PN pula disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), STAR dan SAPP.

“Satu kertas penamaan ditolak iaitu calon daripada USNO yang ingin bertanding di DUN Petagas kerana calon didapati bankrap, sekali gus tidak layak bertanding.

“Calon-calon PRN Sabah berusia 22 hingga 75 tahun, dengan lebih 131 calon berusia 60 tahun ke atas.

“Pada masa sama, pertembungan tertinggi akan berlaku di Bengkoka iaitu melibatkan 11 penjuru manakala 10 penjuru di DUN Inanam,” kata beliau.

Abdul Ghani menaruh keyakinan semua proses pilihan raya berjalan lancar dengan keputusan pengundian akan diumumkan sebelum pukul 12 tengah malam, 26 September ini.

“Kita akan lakukan yang terbaik. SPR jangka paling lewat sebelum tengah malam tapi kalau boleh diawalkan, kita akan umum secepat yang boleh,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesahkan pencalonannya atas tiket BN di DUN Usukan yang dimenanginya dua kali pada 1994 dan 1999.

Anifah pula akan disaingi tiga pencabarnya yang juga tiga sepupu iaitu penyandang kerusi Bongawan dari Warisan, Dr. Daud Yusuf, sepupunya dari BN, Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin dan anak saudara, Mohd Azree Abd Ghani mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP).

Di Senallang, Mohd. Shafie ditentang anak buahnya, Norazman Utoh Naim daripada Bersatu atas tiket PN dalam saingan empat penjuru.

Di Sungai Sibuga, Warisan meletakkan adik Yang Dipertua Negeri Sabah, Armani Mahiruddin sebagai calon parti itu di kubu kuat bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman yang memegang kerusi DUN tersebut sejak 1994 tetapi tidak bertanding kali ini.

Armani, 54, akan bersaing dalam pertandingan lima penjuru.

Dalam pada itu, suasana penamaan calon semalam turut `diusik’ dengan ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Bersatu Tuaran, yang membayangkan kemungkinan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dipilih sebagai calon Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah menang pada PRN ini.

Gabungan diumumkan oleh Muhyiddin melibatkan kerjasama PN, BN dan PBS.

Hajiji yang mengulas isu bakal Ketua Menteri ketika ditemui pemberita di Tuaran semalam berkata, perkara itu akan dibincangkan apabila tiba masanya.

Selang tidak lama kemudian, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan BN dan rakan kongsinya akan memutuskan calon ketua menteri Sabah jika mereka berjaya menawan negeri itu.

Mohd. Shafie Apdal pula selepas penamaan calon di Semporna berkata, Warisan menawarkan kepada rakyat Sabah hanya satu calon ketua menteri.

“Baik DAP kah, PKR kah, Amanah kah (yang menjadi calon kawasan), hanya satu calon saja untuk menjadi ketua menteri – iaitu Presiden Warisan,” katanya.

UMNO Pusat sebelum ini menyerahkan kuasa autonomi kepada Bung Moktar yang bertanding di kerusi DUN Lamag untuk menentukan bakal ketua menteri.

Peluang Bung dan Hajiji untuk menjadi ketua menteri bergantung kepada siapa yang mampu memenangi lebih banyak kerusi pada PRN ini.

UMNO bertanding di 31 kerusi sementara Bersatu, 19.

Dalam pada Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan Pas tidak bertanding dalam PRN Sabah dilakukan bagi mengelak daripada `perangkap yang dipasang oleh musuh’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.