Pemandu warga India dipercayai guna lesen palsu - Utusan Malaysia

Pemandu warga India dipercayai guna lesen palsu

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori perdagangan warga India antara yang ditahan polis kerana dipercayai menggunakan lesen memandu palsu dalam Operasi Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an yang membawa lori treler muatan silika itu turut didakwa menyalahgunakan permit kerja.

Katanya, turut ditahan iaitu seorang kelindan lelaki yang juga warga India berusia 20 tahun.

Tambahnya, pemandu tersebut mendakwa mendapatkan lesen secara sah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Selangor.

“Kita akan buat siasatan lanjut kerana suspek mengatakan lesen ini didapati daripada Klang. Mungkin lesen ini diperolehi secara sah atau secara palsu ataupun guna sindiket.

“Kita akan membuat siasatan dan berkolaborasi dengan pihak JPJ dan juga pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi membuat siasatan terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyertai Operasi Kenderaan Perdagangan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, kedua-dua warga asing itu akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

Dalam pada itu, kata beliau lagi, operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Johor dan Jabatan Alam Sekitar dengan menyasarkan kenderaan perdagangan seperti lori dan bas. 

Jelasnya, antara yang diperiksa ialah muatan berlebihan, tayar botak, muatan berbahaya dan lesen kenderaan. 

“Sejak Jun hingga 15 September lalu, sebanyak 161 operasi dijalankan melibatkan 183 lori. 160 daripadanya didapati membawa muatan berlebihan dengan 66 kes melibatkan Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Sebanyak 2,924 saman dikeluarkan manakala 66 kenderaan disita. Operasi dijalankan berikutan peningkatan kadar kemalangan melibatkan kenderaan Perdagangan sejak Januari tahun ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN