fbpx

4 Disember 2020, 11:06 pm

  TERKINI

Norma baharu warnai Muktamar Ulama, Pemuda Pas

SUASANA norma baharu mewarnai Muktamar Dewan Pemuda Pas dan Dewan Ulama Pas di Kelantan hari ini ekoran PKPP masih dikuatkuasakan di seluruh negara. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suasana norma baharu mewarnai Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-61 dan Dewan Ulama Pas Kali Ke-59 di negeri ini hari ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dikuatkuasakan di seluruh negara.

Di Pengkalan Chepa, para perwakilan Pemuda Pas membanjiri pekarangan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) seawal pukul 8 pagi, biarpun muktamar bermula pukul 9.30 pagi.

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19, seluruh kawasan Putik dikawal ketat oleh Jabatan Amal Pas bermula di pintu pagar utama.

Para perwakilan dan setiap individu yang hadir diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka sebelum dibenarkan memasuki pekarangan Putik.

Pemeriksaan dilakukan sekali lagi di depan pintu utama dewan sebelum mendaftar masuk dengan para petugas berterusan mengingatkan hadirin supaya kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Kerusi semua hadirin termasuk ruangan khusus untuk petugas media pula disusun dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebagai mematuhi arahan penjarakan fizikal.

Prosedur sama dilaksanakan di Markas Dewan Ulama Pas Kelantan (Madu), Labok, Machang yang menjadi lokasi berlangsungnya Muktamar Dewan Ulama Pas.

Perasmian Muktamar Dewan Pemuda disempurnakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man manakala Muktamar Dewan Ulama pula dirasmikan Timbalan Mursyidul Am parti, Datuk Ahmad Yakob.

Kedua-dua muktamar tersebut diserikan dengan kehadiran para pemimpin dan wakil sayap parti sekutu Pas dalam Perikatan Nasional (PN) seperti UMNO, MCA, MIC serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Antaranya Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan. – UTUSAN ONLINE