Nelayan rugi jaring hanyut dilanggar kapal  - Utusan Malaysia

Nelayan rugi jaring hanyut dilanggar kapal 

NORHIZAM Hassan Baktee (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Mustapah Japar (dua dari kanan) dan wakil syarikat kapal di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang nelayan menanggung kerugian lebih RM500 apabila jaring hanyut yang dipasangnya rosak dipercayai dilanggar sebuah kapal tunda yang berlabuh berhampiran pesisir Pantai Lereh, di sini, semalam.

Lebih mengecewakan, nelayan tersebut, Mustapah Japar, 58, berkata, kru kapal terbabit tidak mengendahkan dirinya ketika memaklumkan jaringnya berada di bawah perut kapal.

“Kebiasaannya, apabila jaring termasuk ke bawah kapal, kapten akan segera mengalihkan kapal, namun dalam kejadian kali ini mereka bersikap angkuh dan enggan berganjak dari kawasan berkenaan.

“Tempat sekangkang kera inilah untuk kami mencari rezeki sekarang, bukan hanya saya tetapi ada lebih 20 bot nelayan mencari rezeki di sini. Disebabkan kejadian ini, sebanyak lima keping jaring saya rosak dengan anggaran kerugian RM500,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mustapah lagi, dia juga telah cuba bersemuka dengan kru kapal berkenaan, namun aduannya bukan sahaja tidak dilayan, malah dicabar untuk membawakan isu tersebut ke pengetahuan pihak berkuasa. 

“Saya cuba mendekati kapal berkenaan untuk memberitahu jaring hanyut saya berada di bawah kapal itu, namun, mereka enggan melayan dan menyuruh saya melaporkan kejadian tersebut.

“Saya sangat kecewa dan berharap apa yang disuarakan ini dapat membantu nelayan kecil pesisir pantai untuk mencari rezeki seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rentetan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee telah mengadakan pertemuan dengan Mustapah, syarikat kapal dan pihak berkuasa terlibat.

Ujar Norhizam, kapal berkenaan berlabuh di kawasan yang dibenarkan, namun ketika kejadian angin kencang dan ombak kuat telah menghanyutkan jaring itu ke bawah kapal.

“Selepas mendengar penjelasan semua pihak, kita dapati kejadian ini diluar kawalan kerana fenomena cuaca tetapi saya memahami keperitan ditanggung nelayan tersebut yang tidak boleh mencari rezeki.

“Mengenai kerugian yang ditanggung, pihak syarikat kapal bersetuju untuk membayar RM500 seperti yang dilaporkan nelayan itu selain tambahan RM200 sebagai sagu hati kepadanya,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, pertelingkahan antara nelayan dengan kru kapal tersebut juga telah diselesaikan dengan baik dan perkara itu hanya disebabkan salah faham ekoran kejadian itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya