Mualaf rayu bantuan rawat anak sakit saraf tunjang kronik - Utusan Malaysia

Mualaf rayu bantuan rawat anak sakit saraf tunjang kronik

SEBERANMG PERAI 16 SEPTEMBER 2020 - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail(kanan, berdiri) ketika melawat Mohammad Nabill Sajid di rumahnya di Bandar Tasek Mutiara, Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang baru-baru ini. PEMBERITA-MOHD KHUZAIRI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Itulah nasib yang menimpa seorang mualaf selepas salah seorang daripada tiga anaknya terlibat dengan satu kemalangan baru-baru ini hingga terlantar di atas katil sejak lebih sebulan lalu.

Rehana Sajid Abdullah, 53, yang memeluk Islam sejak 22 tahun lalu berkata, akibat kemalangan itu juga, dia terpaksa menemani anak sulungnya, Mohammad Nabill Sajid Mohammad Salam Sajid Al-Hafiz, 21, hampir setiap masa dan tidak dapat berniaga seperti biasa sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka sekeluarga.

“Suami saya orang Pakistan dan dia telah balik ke negara asal sejak Januari lalu untuk menjenguk kedua orang tuanya yang tidak sihat.

“Dia sangat sedih apabila mendapat tahu anak kami kemalangan namun tidak boleh berbuat apa-apa kerana meng­hadapi masalah kewangan untuk balik (ke Malaysia) selain sukar untuk keluar dari sana (Pakistan) kerana kes Covid-19 yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ketika ini, Rehana yang menerima bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM350 sebulan hanya mengharapkan sumbangan orang ramai selain bergantung kepada wang simpanannya semasa berniaga kecil-kecilan sebelum ini untuk meneruskan kehidupan mereka empat beranak.

Kisah Mohammad Nabill Sajid yang juga seorang tahfiz al-Quran itu sebelum ini pernah tular dalam media sosial selepas pemuda tersebut terbabit de­ngan satu kemalangan Julai lalu dan terlantar di hospital untuk tempoh yang agak lama.

Akibat kemalangan itu juga, anak sulung daripada tiga beradik yang juga seorang tenaga pengajar al-Quran di sebuah maahad di Selangor itu mengalami masalah saraf tunjang yang kronik dan hampir lumpuh daripada bahagian badan hingga ke kaki.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail yang mengunjungi keluarga itu sebelum ini turut menyerahkan beberapa sumbangan termasuk sebuah katil khas untuk kegunaan Mohammad Nabill Sajid.

Jelas Rehana, ketika ini, dia berharap ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan khususnya di negeri ini yang sudi menghulurkan bantuan.

Selain itu, katanya, dia juga berharap dapat menyewa ambulans pada kadar harga paling minimum untuk kegunaan Mohammad Nabill Sajid berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.