Menangis dibacakan 19 pertuduhan miliki harta curi - Utusan Malaysia

Menangis dibacakan 19 pertuduhan miliki harta curi

NOR Azizi Bachik, 40, mengaku tidak bersalah atas 19 pertuduhan mencuri di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.-UTUSAN/RIZANIZAM ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penganggur hanya mampu menangis hiba di kandang tertuduh selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan memiliki harta curi berupa barangan kemas antara April tahun lalu hingga Ogos.

Tertuduh, Nor Azizi Bachik, 40, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, bapa kepada dua anak itu didakwa berniaga harta curi yang dimiliki beberapa individu di alamat No 26, Kedai Emas Kent, Jalan Munshi Abdullah, di sini pada tarikh antara 12 April 2019 hingga 2 Ogos lalu.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh yang diwakili peguam, S. Amritpal Singh dalam rayuannya meminta mahkamah menawarkan jaminan yang rendah memandangkan tertuduh mempunyai isteri dan dua anak berusia 14 tahun dan enam bulan selain perlu menjaga neneknya yang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos bagaimanapun membantah tertuduh diberi jaminan tetapi jika perlu, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM210,000 kerana membabitkan jumlah barang kemas yang banyak.

Tertuduh yang dari awalnya menangis di kandang mahkamah kemudian merayu ihsan hakim kerana perlu menjaga isteri, nenek serta anak yang masih kecil menyebabkan ahli keluarga tertuduh turut menangis di galeri awam.

Elesabet kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu dan menetapkan 26 Oktober depan untuk sebutan semula kes. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya