Malaysia tidak akan desak kerajaan Arab Saudi  - Utusan Malaysia

Malaysia tidak akan desak kerajaan Arab Saudi 

ZULKIFLI Mohamad Al Bakri bertanyakan sesuatu kepada pelajar di pada majlis penutup Program Semarak Jawi sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Rendah Agama An-Najah, Presint 9, di sini semalam.-UTUSAN/ SUBKHI SUDARJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Malaysia mengambil pendirian tidak mahu terburu-buru dan mendesak kerajaan Arab Saudi berhubung senarai negara yang dibenarkan menunaikan umrah bermula 1 November nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, sehingga kini pihaknya masih belum dimaklumkan secara rasmi.

“Kita belum dapat lagi senarai negara mana yang mereka cadangkan. Kita sambut baik cadangan mereka yang menunjukkan kerajaan Arab Saudi amat prihatin berkenaan isu kesihatan.

“Apabila dimaklumkan secara rasmi kita akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya jemaah Malaysia diberi kebenaran menunaikan ibadah berkenaan.

“Kita masih belum berbincang dengan kerajaan Arab Saudi kerana tidak mahu dilihat mendesak mereka kerana tahu situasi semasa Covid-19 di sana dan Malaysia juga masih belum terkawal sepenuhnya,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup Program Semarak Jawi sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Rendah Agama An-Najah, Presint 9, di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail.

Pada 23 September lalu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah secara berperingkat-peringkat untuk sepanjang tahun mulai 4 Oktober ini, selepas tujuh bulan kebenaran itu digantung berikutan pendemik Covid-19.

Sebagai permulaan kira-kira 6,000 warga dan penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan, manakala jemaah dari luar pula akan dibenarkan menunaikan umrah bermula 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari.

Terdahulu, seramai 125 orang pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) dan Kelas Al-Quran Fardhu Ain (KAFA) dari setiap zon di Wilayah Persekutuan telah menyertai program Semarak Jawi.

Di antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pertandingan buku skrap, mewarna, penulisan khat, imlak (ejaan) dan pameran.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada guru dan para pelajar mendalami pengetahuan dalam penulisan Jawi, malah sebagai platform mempamerkan bakat yang telah diasah dalam acara ihtifal Sekolah Rendah Agama (SRA) peringkat zon-zon Wilayah Persekutuan sebelum ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya