Kos umrah naik RM3,000 - Utusan Malaysia

Kos umrah naik RM3,000

GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengendali syarikat umrah mulai risau mengenai kenaikan kos menunaikan ibadah itu yang dijangka meningkat lebih RM3,000 bagi setiap jemaah susulan caj levi pelepasan udara dan saringan Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kenaikan tersebut membebankan tetapi sukar dielakkan kerana ia berdasarkan situasi semasa.

“Setiap jemaah musim ini perlu menanggung kos levi diramal sehingga RM25 peratus yang ditetapkan Arab Saudi, ujian calitan Covid-19 dan penginapan kuarantin.

“Kuarantin dan ujian calitan Covid-19 perlu ditanggung jemaah,” kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut beliau, mengikut kiraan kasar musim lalu pakej jemaah umrah paling murah sekitar RM6,000 namun pada musim akan datang kos boleh meningkat sehingga RM9,000.

Kata beliau, mereka yang sudah membayar pakej umrah sebelum ini tetapi terpaksa menangguhkan ibadah itu masih perlu menambah bayaran bagi menangung kos baharu.
“Bakal jemaah harus faham bahawa kos tersebut bukan sewenang-wenang diwujudkan tetapi semuanya bersebab. Bakal jemaah dijangka boleh menunaikan ibadah umrah mulai Januari tahun depan,” jelasnya.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan, Arab Saudi akan membenarkan pelaksanaan ibadah umrah secara berperingkat mulai 4 Oktober ini.

Bagi peringkat pertama, seramai 6,000 rakyat dan penduduk Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan umrah pada setiap hari manakala bagi pengunjung dari luar negara hanya diberi kebenaran mulai 1 November.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah pula tidak menolak kenaikan kos umarah akan berlaku ekoran pelaksanaan levi pelepasan udara.

“Kita tidak tahu berapa peratus cuma bayangan itu sudah ada. Sebelum ini levi tersebut cuma lima peratus tetapi baru-baru ini naik 10 peratus menjadikan 15 peratus.

“Berdasarkan sumber-sumber lain pula Arab Saudi didakwa kemungkinan akan menaikkan sehingga 25 peratus,” kata beliau.

Susulan itu, Md. Daud berkata, jika bakal jemaah membuat tempahan umrah membabitkan kos RM6,000 sebelum ini, pakej sama akan naik kepada RM7,000.

“Ini baru membabitkan kos tambahan disebabkan kenaikan levi belum lagi caj kuarantin dan ujian Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Md. Daud berkata, sepanjang tempoh Covid-19, pihaknya juga terpaksa menanggung kerugian RM9 juta iaitu kos yang sudah dibayar kepada pihak hotel dan syarikat penerbangan yang tidak dipulangkan.

“Bayangkan perniagaan tak berjalan sejak Mac lalu. Kerugian keseluruhan bagi 14,000 jemaah ialah kira-kira RM75 juta iaitu kiraan bagi setiap umrah memayar pakej RM6,000 seorang,” katanya.

Selain itu, katanya, sejak wabak Covid-19 menular, seramai 236 mutawif juga hilang pendapatan kerana tiada umrah dibenarkan.

“Apabila umrah dibenarkan semula pun kita bercadang hanya ambil 80 mutawif sahaja kali ini kerana jumlah umrah juga dijangka mengurang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya