Ketepi cinta demi keluarga - Utusan Malaysia

Ketepi cinta demi keluarga

Akui bidang nyanyiannya masih belum membuahkan kejayaan, namun Alvin tidak berputus asa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMA seperti lelaki lain, penyanyi dan pelakon ini tidak berselindung yang dia juga mempunyai impian untuk berkahwin. Malah pada usia 29 tahun, Alvin Chong sendiri yakin ini adalah waktu yang sesuai untuk memulakan sebuah keluarga.

Namun melihat tanggungjawab yang perlu digalasnya sebagai seorang anak, ada yang menyekat dirinya ketika ini. Secara jujur memberitahu kewangan adalah punca dia masih sendiri, Alvin bagaimanapun yakin ini adalah keputusan yang tepat.

“Ramai yang beranggapan saya datang dari keluarga yang kaya, jujurnya saya sudah mula bekerja sejak berumur tujuh tahun. Ketika berumur 18 tahun, saya nekad merantau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sendirian.

“Saat ini fokus saya adalah untuk membantu keluarga dahulu. Menjadi salah seorang anak yang bertanggungjawab menyara keluarga kini, rasanya buat masa ini bukan waktu yang sesuai untuk saya mencari cinta,” katanya.

Menjelaskan bagaimana pandemik Covid-19 turut menjadi punca bagaimana kehidupan keluarganya terjejas, kata Alvin perkara paling penting kini adalah memastikan kedua orang tuanya kembali mempunyai punca pendapatan.

“Dalam tempoh sekarang dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula akibat pandemik Covid-19 sebelum ini turut memberi kesan bukan sahaja kepada saya tetapi keluarga. Bapa saya adalah penjaja makanan.

Saat ini memang dia tidak boleh bekerja memandangkan lokasi perniagaannya itu ditutup.

“Sebagai anak adalah menjadi tanggungjawab saya membantu, mengenali mereka sebolehnya memang tidak mahu minta tolong anak-anak. Saya fikir dalam tempoh terdekat ini bukan soal kewangan sahaja tetapi bagaimana saya mahu memastikan ibu dan bapa saya dapat menjana kewangan sendiri. Sebab itu saya mahu membantu mereka memulakan perniagaan,” jelasnya.

Mahu terus berbakti buat keluarganya, kata Alvin, membesar dalam keadaan serba kekurangan membuatkan dia pernah memberontak. Malah ada suatu ketika dia turut menyalahkan ibu bapanya kerana terpaksa melalui kehidupan yang sukar. Namun meningkat dewasa ada yang membuatkan dia faham tentang erti kasih sayang.

“Memandangkan saya perlu bekerja di usia muda, hubungan saya dengan keluarga memang renggang. Tetapi saya mahu ubah semua itu kini, memandangkan nilai hubungan keluarga itu cukup besar buat saya.

“Sebab itu saya berusaha mencari jalan dalam membantu keluarga, kerana kita tahu seseorang itu tidak akan berjaya tanpa sokongan keluarga dan orang terdekat,” katanya.

Baru membeli sebuah rumah dua tahun lalu, Alvin memberitahu ini juga antara persediaan awal untuk dirinya mendirikan rumah tangga. Namun melihat kemampuan dirinya kini dia lebih senang untuk tidak terlibat dalam mana-mana hubungan cinta.

“Kali terakhir saya bercinta dua tahun lalu, buat masa sekarang memang tidak ada sesiapa. Ada yang cuba mendekati tetapi saya lebih senang bersikap jujur tentang keadaan diri.

“Bagi saya mempunyai rumah dan kereta adalah asas sebelum mampu berumah tangga. Tetapi apa yang merunsingkan saya kini kemampuan saya untuk melunaskan pinjaman bank. Bukan apa, dalam keadaan sekarang kita tidak boleh jangka apa akan berlaku,” katanya.

Mahu memiliki sebuah perkahwinan yang bahagia suatu hari nanti, Alvin akui mendengar kisah perceraian yang kerap berlaku sedikit sebanyak memberi impak kepada dirinya. Penting buat dirinya kini memastikan dia cukup bersedia sebelum mampu bergelar suami.

“Perkahwinan adalah sesuatu yang penting dan ia bukan sekadar turunkan tandatangan atas sehelai kertas sahaja.

“Sekarang, saya dengar ramai yang hendak bercerai. Bagi saya, kalau tak jumpa orang yang sesuai, saya tidak mahu bazir masa dan wang. Sebab perkahwinan memerlukan wang yang banyak,” katanya.

Sayangku Salmah

Mengakui kerjayanya sebagai seorang penyanyi belum berada di tahap memuaskan Alvin bagaimanapun tidak merasa perlu ada rasa putus asa dalam dirinya.

Dia yakin dalam apa-apa bidang juga usaha memainkan peranan penting sebelum mengharapkan hasil.

“Menyanyi adalah suatu perkara yang saya minat, buat masa ini saya sendiri tidak tahu sama ada saya akan berjaya atau tidak. Namun mempunyai pasukan dan peminat yang banyak membantu saya terus berusaha.

“Mengenai single terbaharu saya Sayangku Salmah, antara komen yang ditinggalkan peminat bagaimana lagu ini mudah diingati.

“Saya tidak kisah jika mereka tidak kenal penyanyi, sebab bila lagu ini dikenali secara tidak langsung mereka akan mula mengetahui saya adalah penyanyinya,” jelasnya.

Sementara itu, muzik video lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Dedeq ini turut muncul dengan kelainan tersendiri apabila dipersembahkan dalam bentuk travelog sebanyak tiga episod.

Bermula 7 September bagi episod pertama, 14 September (episod kedua) dan 21 September (episod ketiga), peminat boleh menontonnya di saluran YouTube AlvinChongVEVO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN