JSJ ambil alih kes kematian anggota tentera - Utusan Malaysia

JSJ ambil alih kes kematian anggota tentera

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung kematian anggota tentera, Abdul Aziz Aznam dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri mengambil alih kes berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum ini kes itu diklasifikan sebagai mati mengejut namun kini JSJ negeri mengambil alih siasatan yang akan melibatkan segala aspek.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung kematian Abdul Aziz dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz, 20, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem di Batu Pahat.

Mangsa yang sebelum itu dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat bagaimanapun menghembus nafas terakhir pada pukul 2.30 petang kelmarin.

Berdasarkan satu perkongsian di laman Facebook oleh Adin Rashid, Abdul Aziz dilaporkan tidak hadir bertugas sejak enam bulan lalu sebelum diarahkan untuk kembali semula ke kem pada 28 Ogos lalu.

Dalam hantaran sama, Abdul Aziz dikatakan dihantar ke kem tersebut oleh keluarganya sebelum mereka dikejutkan berita lelaki itu dimasukkan ke hospital akibat kecederaan parah setelah terjatuh dari bangunan tiga tingkat pada pukul 12 tengah malam.

Jenazah anggota tentera darat itu selamat dikebumikan di Tanjung Rambutan, Perak semalam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN