'Jerung' pembekal barangan tiruan ditahan - Utusan Malaysia

‘Jerung’ pembekal barangan tiruan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung menyita lebih 15,000 unit barangan berjenama tiruan bernilai lebih RM200,000 dalam serbuan di lima premis sekitar daerah Manjung petang semalam.

Dalam Ops Tiru dan Ops Jeriji bermula kira-kira pukul 2 petang itu, bekas penjawat awam berusia 30-an yang menjadi pembekal utama barangan berkenaan turut ditahan.

Ketua Cawangan Penguatkuasa KPDNHEP Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood, berkata serbuan itu membabitkan empat premis perniagaan dan sebuah setor yang menjual serta menyimpan pelbagai barangan seperti kasut, pakaian dan jam tangan tiruan jenama seperti Nike, Adidas, Puma, Louis Vuitton dan Casio G-Shock.

“Kami bertindak menyita 10,875 pasang kasut, 3,884 helai baju, 809 helai seluar dan 177 unit jam tangan dengan anggaran nilai RM226,344.

“Melalui operasi ini, kami percaya telah berjaya menangkap satu ‘jerung’ dan empat ‘bilis’,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP Manjung di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati pembekal utama barangan itu yang memiliki setor jenama tiruan tersebut memperoleh dari luar negara sebelum dibekalkan ke empat premis perniagaan terlibat dan kepada peniaga lain sekitar daerah Manjung.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek yang sudah menjalankan kegiatan itu sejak hampir tiga tahun lalu, turut menjadi pembekal di daerah Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hilir Perak dan Kinta.

Menurutnya, individu berkenaan dipercayai memperoleh pendapatan lumayan hasil perniagaan itu berdasarkan beberapa jenama kereta mewah dimilikinya.

“Difahamkan, bagi setiap barangan dijual, separuh daripada harga jualan adalah keuntungannya, sebagai contoh jika harga kasut RM60 maka RM30 adalah keuntungan yang dia dapat,” katanya.

Ujarnya, operasi itu dilakukan 13 anggota penguatkuasa KPDNHEP Manjung bersama tiga wakil cap dagang, 10 penguatkuasa KPDNHEP Ipoh dan dibantu pasukan polis dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Manjung.

Wan Muhammad Badro berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang membawa hukuman didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, jika sabit kesalahan.

Beliau menegaskan, selain menjaga hak pengguna, pihaknya memandang serius dalam melindungi hak-hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan terhadap premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang tiruan, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing khususnya di Perak. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya